Buletin

FV FRANGIVENTO SORPASSO SUPERCAR TERBAHARU KELAHIRAN ITALI

Pengeluar kenderaan dari Itali, FV Frangivento yang kurang dikenali melancarkan sebuah supercar terbaharu dikenali sebagai Sorpasso.

 Jentera terbaharu itu didatangkan dengan dua varian Stradale dan GTXX.

Stradale dilengkapi enjin aspirasi semula jadi V10 yang mampu menjana kuasa 610 hp manakala GTXX mendapat khidmat supercharger dengan keupayaan meningkatkan kuasa mencecah 850 hp.

Kuasa itu membolehkan supercar berkenaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam tempoh 2.9 saat sahaja dengan kelajuan maksimum 345 km/j.

Kedua-dua varian didatangkan dengan pacuan semua roda.

FV Frangivento Sorpasso menampilkan rekaan luaran yang menarik perhatian dengan lengkungan tajam pada permukaan dan sentuhan agresif menyerlahkan lagi sisi garang jentera terbaharu itu.

Bahagian hadapan didatangkan dengan lampu utama LED yang disepadukan bersama lampu nyalaan siang LED, gril besar dan lubang angin yang besar.

Selain itu, ia dilengkapi rim warna hitam berkilat dan pintu disepadukan dengan pengambilan udara.

Melihat bahagian belakang Sorpasso pula, ia memperlihatkan penopang menonjol mamanjang ke belakang dari bumbung dan bar lampu LED.

Bagaimanapun, ruang dalaman masih belum didedahkan kepada khalayak tetapi ia dijangka menggunakan gabungan kulit dan Alcantara serta didatangkan teknologi AI, Avatar Driving Assistant.

Para pembeli dua model tersebut boleh mengikuti program Programma Sviluppo dan Programma Ego selama 30 hari untuk membikin jentera mengikut kemahuan sendiri. – carscoops

Google ads
Back to top button