Buletin

SUBARU CUAK BINA EV, SEDIA JALIN KERJASAMA DENGAN TOYOTA – PERKENALKAN TIGA CROSSOVER EV

Subaru belum cukup bersedia untuk membina kenderaan elektrik sendiri kerana jualan EV yang tidak menentu.

Itulah sebabnya Subaru kembali bersama Toyota untuk membangunkan tiga lagi crossover elektrik.

“Pada masa ini, agak sukar untuk meramalkan bagaimana keadaan akan berlaku dengan EV,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Subaru, Atsushi Osaki.

“Terdapat risiko besar untuk kami mengharunginya sendirian dalam bidang ini. Kami telah mengadakan perbincangan dengan Toyota dan telah bersetuju bahawa adalah lebih baik untuk mengurangkan risiko melalui pembangunan bersama.”

Perkongsian ini tidak akan menjadi sesuatu yang baharu untuk Subaru dan Toyota, kerana mereka telah lama menjadi rakan kongsi untuk kenderaan lain.

Subaru BRZ dan Toyota GR86 adalah hasil mekanikal mereka yang paling terkenal selain, membina Subaru Solterra serta Toyota bZ4X serba elektrik.

Dua model elektrik tersebut adalah yang terakhir dibina oleh Toyota di kilang pemasangan Motomachi di Jepun.

Tetapi tiga model elektrik seterusnya dilaporkan bakal dibina oleh Toyota di Amerika Syarikat, yang akan membantu kereta kedua-dua jenama itu layak mendapat kredit cukai persekutuan di bawah Akta Pengurangan Inflasi.

Tambahnya lagi, jangan mengharapkan model EV Subaru akan dibina di A.S..

“Saya tidak mengatakan bahawa kami akan melakukan pengeluaran BEV di kilang kami sendiri di A.S.,” kata Osaki.

“Memandangkan pasaran berubah begitu ketara, kami akan meneruskan sambil mengkaji keadaan dengan teliti.”

Walau bagaimanapun, Subaru akan membina hibrid di Indiana, Amerika Syarikat, di mana kedua-dua Crosstrek dan Forester akan mendapat rangkaian kuasa hibrid baharu.

Bekerjasama dengan Toyota akan membantu mengurangkan kos penyelidikan dan pembangunan, membolehkan Subaru memperoleh lebih banyak keuntungan.

Keuntungan operasi Subaru sepanjang 12 bulan lalu berjumlah AS$3.06 bilion (RM14.3 bilion), dengan pendapatan bersih sehingga AS$2.55 bilion (RM11.9 bilion), kenaikan terbesar bagi jenama itu sejak 2016.

Dengan jualan yang stabil dan keuntungan melambung tinggi, Osaki tidak mahu terlalu bercita-cita tinggi, terutamanya dengan EV.

“Walaupun kami telah menuju ke arah EV, kami mendapati penting untuk menjual produk pembakaran dalaman pada masa yang sama.

“Jadi, kami sudah mempunyai rancangan untuk mengembangkan barisan produk hibrid kami,” jelasnya.

Google ads
Back to top button