Artikel Pilihan

AUDI RS4 AVANT EDITION 25 YEARS – EDISI TERAKHIR RS4 YANG LEBIH BERKUASA DAN DINAMIK

Audi kini menyambut ulang tahun ke 25 model RS4 asal mereka dengan melancarkan varian khas Edition 25 Years. Selepas ini RS4 akan digantikan oleh RS5 Avant. Menariknya Audi RS4 Avant Edition 25 Years ini menampilkan enjin V6 turbo berkembar 464 hp yang kemudian digabungkan dengan talaan chasis yang lebih dinamik. Hanya 250 unit bakal dihasilkan dan kesemuanya adalah untuk pasaran Eropah.

Lebih menarik lagi ia warna Imola Yellow yang ditawarkan untuk model Edition 25 ini. Ia menyamai warna RS4 asal tapi selain daripada itu, pembeli juga boleh memilih dua lagi warna menarik lain yang dinamakan Nardo Grey ataupun Mythos Black.

Pilihan warna-warna tersebut kemudiannya digabungkan dengan kemasan hitam berkilat dengan sentuhan hitam pada lampu belakang dan elemen serat karbon di bahagian tertentu. Rel bumbung dibuang terus agar kelihatan lebih aerodinamik. Ia kemudian disudahkan dengan perkataan RS4 Edition 25 Years yang dilakar pada cermin sisi belakang.

Bahagian dalaman pula menampilkan plat bernombor khas pada konsol tengah, jahitan benag kuning dan emblem khas. Tema hitam menjadi pilihan kemasan dalaman yang merupakan gabungan kulit dan Alcantara khususnya untuk tempat duduk perlumbaan RS. Paparan berlatar belakang warna putih memang mengimbau nostalgia RS4 asal. Alah Kancil 850 abang dulu pun sama jugak meter putih.

Talaan semula sistem perisian memberikan 20hp lebih kuasa kepada enjin 2.9 liter V6 RS4 ini berbanding varian standard. Hasilnya ialah peningkatan kuasa maksima kepada 464 hp dan 600 Nm untuk tork maksima.

Differential Torsen turut dinaik taraf selain mapping baharu untuk kotak gear lapan-kelajuan automatic turut dilakukan. Kini pecutan 0-100 kmj hanya mengambil masa 3.7 saat dan kelajuan maksima yang mampu dicapai ialah 300 kmj. Satu ketika dahulu angka-angka ini hanya mampu dicapai oelh sebuah supercar.

Selain penambahan kuasa, varian edisi khas ini juga turut dilengkapi dengan coilover boleh laras secara manual sebagai peralatan standard. Ia menjadikan RS4 25 tahun ini 10mm ke 20mm lebih rendah berbanding RS4 standard.

Para jurutera Audi Sports turut memberikan talaan baharu kepada sistem suspense kereta ini bagu menjadikan ia lebih dinamik dan sporty. Antara pengubahsuaian yang dilakukan ialah menambah camber negatif pada gandar hadapan sekitar dua darjah selain menambah lengan kawalan yang lebih kukuh.

Akhir sekali rim 20 inci yang diperbuat daripada aluminium tempa dipadankan dengan tayara-tayar Pirelli P Zero Corsa yang tak payah tanya la berapa kosnya. Pemilik varian edisi khas ini juga akan diberikan satu set lagi rim yang dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero Trofeo RS khusus untuk kegunaan di litar. Fuh dahsyat ni.

Kuasa henti disumbang oleh brek-brek cakera seramik RS yang diberikan standard untuk model ini. Itu belum termasuk ekzos sport RS dengan tip ekzos bentuk oval berwarna hitam. Kalau ada duit memang baik beli.

Google ads
Back to top button