Buletin

SUBARU FORESTER XT-EDITION DAN X-EDITION WARNA GEYSER BLUE UNTUK JEPUN

Terbaru untuk pasaran Jepun Subaru memperkenalkan Geyser Blue sebagai warna khusus bagi model istimewa Forester XT-EDITION dan X-EDITION.

Forester generasi kelima diperkenal pada Jun 2018 dan hadir dengan pakej seperti pengendalian yang mudah, ruang dan rekaan rugged ala kenderaan utiliti sukan (SUV).

Forester juga ditawarkan di pasaran tempatan dan tampil dengan aura tersendiri berbanding model lain. Forester adalah sebuah model yang unik.

Warna Geyser Blue sebelum ini digunakan pada model Subaru Wilderness untuk pasaran Amerika Utara. Warna biru memang sinonim untuk Subaru sehingga mendapat jolokan biru Impreza.

Warna biru baharu meningkatkan lagi imej aktif dan lasak kedua-dua model istimewa Forester XT-EDITION dan X-EDITION.

Forester XT-EDITION

Berbeza dengan Forester tempatan yang menggunakan enjin 2.0 liter Boxer, model Jepun ditawarkan dalam dua pilihan enjin.

XT-Edition diasaskan dari Forester SPORT dengan enjin 1.8 liter turbo pancitan terus (DIT). Enjin dipadan bersama kotak CVT Lineartronic dengan mod manual dan pacuan semua roda (AWD).

XT-Edition mempunyai kuasa 177 ps dari 5,200 sehingga 5,600 rpm dan tork 300Nm dari 1,600 sehingga 3,600 rpm.

Bahagian dalam kereta menggunakan kerusi balutan kulit tiruan dan fabrik yang tidak telap air. Pelapik kargo memudahkan pengguna untuk membawa pelbagai jenis barangan ketika beraktiviti.

Perkakasan dalaman XT-Edition sedikit berbeza daripada X-Edition dan boleh dilihat pada panel penyaman udara dengan dua tombol dan sejumlah butang.

Luar dan dalam kereta banyak menggunakan perkakasan hitam bagi menyerlahkan sifat kelasakan.

Forester X-EDITION

Varian ini diasaskan dari Forester Touring yang menggunakan enjin hibrid 2.0 liter e-BOXER.

Enjin menghasilkan 145 ps pada 6,000 rpm dan tork 188Nm pada 4,000 rpm. Motor elektrik mempunyai kuasa 10 kW (13.6 ps) dan tork 65Nm.

Enjin dipadan bersama kotak gear CVT Lineartronic dengan mod manual dan AWD. Sama seperti XT-Edition, kerusi dibalut kulit tiruan dan fabrk yang kalis air.

Ruang kargo belakang dilengkapi pelapik untuk membawa barangan ketika berkhemah dan sebagainya.

Panel penyaman udara mempunyai tiga tombol dan jumlah butang yang tidak sebanyak XT-Edition.

Satu lagi kelebihan X-EDITION ialah pemanas kerusi depan mempunyai tiga larasan suhu. Sistem kawalan pandu pula mempunyai mod ECO.

Bahagian dalam dan luar menggunakan perkakasan hitam termasuk pelindung bampar depan dari resin. Perumah lampu kabus berbeza daripada XT-Edition atau model setara.

Harga

Forester XT-EDITION 1.8 DIT

  • Dengan pintu but berkuasa: 3,520,000 yen (RM107,862)
  • Pintu but biasa: 3,465,000 yen (RM106,176)

Forester X-EDITION 2.0 e-BOXER

  • Dengan pintu but berkuasa: 3,432,000 yen (RM105,193)
  • Pintu but biasa: 3,377,000 yen (RM103,500)

Google ads
Back to top button