Buletin

SUBARU FORESTER STI SPORT, NADI 1.8 BOXER TURBO, TALAAN SUSPENSI LEBIH SPORTI

Subaru Jepun kini melancarkan Forester STI Sport di mana varian baharu ini dihasilkan khusus untuk pasaran Jepun buat masa ini.

Subaru Forester STI Sport masih lagi mengekalkan nadi boxer 1.8 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 175 hp dan 300 Nm dipadankan dengan transmisi CVT dan sistem pacuan Symmetrical AWD.

Tidak seperti model standard, Forester STI Sport ini membawakan penampilan serba sporti, serta talaan khusus pada sistem gantungan SUV ini.

Menurut Subaru, sistem gantungan SUV ini menggunakan peredam hadapan daripada Hitachi Astemo SFRD yang ditala oleh pasukan STI, dan tidak ketinggalan talaan unik pada komponen peredam belakang.

Ini menjadikan pengendalian Forester STI Sport yang mampu menyaingi pengendalian sebuah sedan sports biarpun dengan titik graviti yang masih tinggi.

Dari segi rupa luaran, Forester ini diserikan dengan kemasan hitam berkilat pada skid plate depan, liang bampar, cladding sisi, cermin sisi, diffuser belakang dan spoiler belakang, penggunaan logo STI berwarna merah pada gril dan pintu belakang, serta rim aluminium bersaiz 18 inci.

Kemasan sporti diteruskan di bahagian dalaman dengan panel instrumen STI Sport, balutan upholsteri kulit Nappa dan kulit Bordeaux pada bahagian tempat duduk, panel pintu, konsol tengah dan papan pemuka, diselangi dengan jahitan merah dan dan elemen hitam piano.

Subaru bakal melancarkan Forester STI Sport di Jepun pada 25 Ogos ini.

Google ads
Back to top button