Motosikal

GALERI: BMW G310 R – BOLEH CALAR IMEJ PREMIUM BMW MOTORRAD?

Baru-baru ini, peminat motosikal tempatan menerima berita gembira apabila BMW Motorrad, secara rasminya memperkenalkan model yang sangat ditunggu-tunggu, BMW G310 R. 

Ditawarkan pada harga RM26,900 seunit, inilah jentera dua roda paling murah daripada BMW. Jenama BMW itu sahaja sudah boleh membuatkan ramai orang tidak sabar untuk memilikinya.

Ini adalah percubaan pertama BMW untuk meneroka pasaran motosikal pada harga mampu milik. Sedia maklum bahawa, harga motosikal BMW sebelum ini memang jauh daripada jangkauan ramai. Ya lah, kalau skuter hasil kerjasama dengan KYMCO pun dijual pada harga lebih RM60,000 seunit, kau nak cakap apa lagi.

Boleh dikatakan bahawa pengenalan BMW G310 R dibuat berikutan pasaran motosikal adventure berkapasiti kecil (150cc hingga 300cc) berkembang dengan begitu pesat. Di Malaysia, segmen motosikal tersebut sebelum ini secara senyap-senyap dimonopoli oleh jentera dari China, KTNS RS3 (Zongshen RS3) yang mula dijual pada tahun 2014.

Ditawarkan pada harga hanya sekitar RM12,800 seunit dan jika ditambah RM500 pelanggan akan diberi kotak penyimpanan barang serta pelindung enjin, ia tidak menunggu lama untuk mendapat sambutan hangat.

Namun begitu, persoalan mengenai kualiti dan nilai selepas jualan yang diragui, bukan semua orang berminat untuk membelinya.

KTNS dibiarkan tanpa saingan secara langsung sehinggalah Kawasaki memperkenalkan Versys-X 250 pada Januari lalu. Berharga RM23,789 (termasuk GST), ia memang satu lagi alternatif terbaik untuk peminat jentera adventure/touring berenjin kecil.

Kembali kepada BMW G310 R. Ia merupakan jentera hasil kerjasama dengan pengeluar TVS Motor dari India. BMW dan TVS mengumumkan kerjasama pada April 2013. Ia direka sepenuhnya oleh BMW Motorrad, tetapi diproduksi oleh TVS bagi membolehkan harganya lebih rendah. Malah ia menjadi antara model terawal BMW yang dihasilkan di luar Jerman.

Walaupun dibina di India oleh pengeluar tempatan, BMW G310 R bagaimanapun tidak ditawarkan di pasaran India. Paling awal pun mungkin tahun depan, itu pun kalau jadi.

Sebab utama adalah kerana India hanya mempunyai empat pengedar BMW Motorrad dan Presiden BMW India, Vikram Pahwa memberitahu pasaran India masih belum bersedia untuk pelancaran BMW G310 R. Peh… Mesti angin jer mat-mat rempit di sana.

Untuk cover line dan tidak mengecilkan hati peminat motosikal di India, TVS dikatakan bakal melancarkan model Apache RR 310S. Inil ialah model sama dengan BMW G310 R, lencana sahaja yang berbeza.

BACA: BMW MOTORRAD PERKENAL BMW G310 R – RM26,900 SEUNIT, MOTOSIKAL BMW PALING MURAH!

Bercerita tentang prestasi pula, jentera ini dipasang dengan enjin satu silinder bersama sistem penyejukancecair yang diletakkan secara terbalik agar lebih kompak. Mampu menjana kuasa 34hp dan tork 28.4Nm, ia menjanjikan prestasi tunggangan yang mengujakan.

Ketika kehadiran BMW G310 R menggembirakan ramai orang, timbul persoalan adakah jentera itu akan mencalar imej premium yang dipegang oleh motosikal BMW selama ini. Ya lah, kau beli motorsikal BMW paling murah pun RM60,000 sebuah, tapi orang lain beli (BMW juga) tak sampai separuh harga.

Memanglah harga murah itu boeh dijustifikasikan melalui sesaran enjin dan ini ialah hasil kerjasama dengan TVS. Tetapi pembeli juga mesti mengharapkan layanan sama seperti pemilik motosikal BMW yang lain.  Korang rasa macam mana? atau ini sekadar persepsi semata-mata?

Apa pun, abang Japar tak sabar nak tunggang uji BMW G310 R ni. Nak tahu juga berbaloi tak dengan harga dan ‘kecoh’ yang dihasilkannya.

kredit foto: pandulaju.com.my

GALERI:

Google ads
Back to top button