Artikel Pilihan

SURAT TERBUKA KEPADA PENGELUAR KENDERAAN – HENTIKANLAH TAWAR FUNGSI MENGARUT KEPADA PELANGGAN

Sebagai penulis permotoran kami memang dah menguji banyak kereta dan membuat ulasan untuk pertimbangan dan penilaian pengguna/pembaca sebelum membeli sesebuah kereta. Memang kami akui terdapat beberapa fungsi yang memang sangat tidak diperlukan tapi masih tetap ditawarkan oleh pengeluar kenderaan. Kami kongsikan kepada anda saranan Carbuzz kepada semua pengeluar kenderaan.

Proses rekaan sesebuah kereta memang sangat kompleks dan melibatkan kos yang tinggi. Kos ini kemudian akan ditanggung oleh pembeli selepas sesebuah produk itu siap dipasarkan.

Masalahnya ada sesetengahnya lebih kepada gaya dan bukannya fungsi dan kosnya seperti biasa terhempuk ke atas batu jemala pembeli. Padahal bukannya perlu sangat pun fungsi tu. Mari kita tengok apa fungsi-fungsi yang ‘mengarut’ ni.

Tayar profil rendah untuk semua varian

Tayar profil rendah memang penting untuk kereta berprestasi tinggi tapi kalau untuk kereta yang digunakan untuk ke pasar dan hantar anak sekolah perlu ke? Ia memang membantu kereta berprestasi tinggi mengambil selekoh dengan lebih laju tapi kalau abah korang bawa untuk ke masjid dan minum kopi?

Dah namanya tayar profil tinggi sudah tentu ia lagi nipis dari tayar biasa dan akan menukar suspense kereta menjadi sedikit keras. Kesian orang-orang tua macam kami ni sakit pinggang bila terlanggar lubang ataupun bonggol jalan binaan amatur dalam taman perumahan.

Tak ramai pun yang perlukan tayar profil tinggi dan rim bersaiz dulang hidangan ni sebenarnya tapi ia ditawarkan dengan kos yang lebih tinggi yang terpaksa ditanggung oleh korang semua. Lagi mengarut bila ia ditawarkan pada SUV yang tujuan asal untuk meredah laluan off-road.

Kemasan dalaman bertemakan warna hitam piano

Kenapa ia dihasilkan sebenarnya? Semestinya sebab murah dan akan menambah efek kilatan dalam kabin kereta. Memang pada awalnya ia kelihatan hebat tapi selepas menggunakan kereta selama beberapa hari ia akan mengumpul debu dan membolehkan anda melihat butiran debu dengan jelas sebaik masuk ke dalam kereta.

Kalau ada anak kecil pula, kemasan hitam piano ni akan menampakkan kesan cap jari dengan jelas dari kiri ke kanan. Lap ada lagi, lap lagi ada lagi. Lap lebih-lebih bercalar pulak. Jelas pulak tu nampak bila bercalar.

Arghh… stress betullah. Tengok dashboard Kancil lama dan Saga lama dulu. Ada korang nampak calar balar ataupun kesan tangan lepas makan keropok lekor? Takde kan?

Butang sensitif sentuhan

Ini kami dah ulas sebelum ini. Semua butang fizikal digantikan dengan butang sensitif sentuhan macam touch screen. Tak puas la tekan butang macam tu dan dah tentu ia lebih mahal untuk dihasilkan berbanding butang biasa. Kalau buang lama tu orang buta pun tahu macam mana cara nak operasikannya, butang sensitive sentuhan?

Butang ni pulak biasanya bertemakan hitam piano. Fuh mengundang kutukan berganda betullah. Penuh kesan minyak goreng pisang kat butang stereng.

Set audio Bose

Dah jadi trend sebenarnya tawaran set audio premium pada kenderaan. Ia lebih kepada tambahan kos sedangkan banyak lagi jenama lain yang mampu memberikan muzik yang lunak dengan kos yang munasabah.

Memang kualiti bunyi Bose ni sangat premium tapi kena betul juga cara susunnya. Samalah macam jenama lain. Pandai susun memang sedap je layan lagu keroncong.

Bumbung kaca tanpa pelindung

Ini satu lagi fungsi yang ditawarkan pada kenderaan moden tapi memang ada antaranya yang ditawarkan tanpa pelindung ataupun shade. Masalah la kalau pakai kereta bumbung kaca tanpa shade kat Malaysia ni. Masak kau wei kalau memandu waktu tengahari berjam-jam.

Patutnya letaklah shade ataupun pelindung dah namanya pun bumbung kan? Kalau dah semuanya kaca baik kita panggil tingkap ataupun akuarium je.

Apple CarPlay Wireless dan Android Auto tapi tanpa pengecas wireless

Nampak canggihkan bila boleh hubungkan telefon pintar dengan sistem audio kereta tanpa wayar. Tapi kena ingat lagi lama guna lagi cepat bateri telefon habis. Bila nak cas semula kena pakai pengecas yang guna wayar. Macam mana ni?

Syukur juga la sebab dah ada pengeluar yang sedar perkara ni dan terus tawarkan pengecas wireless tapi belum menyeluruh lagi la.

Menyumbat semua fungsi kawalan pada skrin sesentuh

Logiknya senang sahaja, boleh satukan kawalan pada skrin sesentuh tapi bagi suis-suis yang selalau digunakan macam nyalaan lampu utama dan kawalan penyaman udara tu buat suis asing la.

Tak habis pun tenaga pemandu untuk gunakan suis tradisional tu. Satu kalori pun tak terbakar untuk tekan suis dan pusing tombol kan?

Google ads
Back to top button