
SUSPEK INSIDEN BULI JALANAN DI JALAN SS8/2 PJ BERJAYA DIBERKAS POLIS
Pada 23 Disember lalu, tular di laman Twitter satu kejadian buli jalanan yang melibatkan dua orang pemandu kereta di tengah Jalan SS8/2, Petaling Jaya.
Kejadian tersebut berlaku gara-gara mangsa, memandu Perodua Bezza, membunyikan hon. Oleh disebabkan itu, pemandu lelaki, memandu Nissan Sentra berwarna hitam berasa tidak puas hati.
Melalui video tersebut, pemandu Nissan Sentra telah dilihat mengambil kayu dan menghayunnya untuk menakutkan mangsa.

Pertengkaran tersebut bagaimanapun berjaya dileraikan oleh seorang penunggang motosikal sebelum suspek kembali bertenang dan masuk semula ke dalam keretanya.
Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata suspek telah ditahan oleh anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhampiran jalan Sungai Penchala pada pukul 3.20 petang.
Suspek yang berumur 31 tahun,merupakan pemandu van ditahan untuk disoal siasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – Free Malaysia Today