BuletinMotosikal

SUTER MMX 500 – SATU-SATUNYA MOTOSIKAL GP 2-LEJANG YANG BOLEH ANDA MILIKI

Jika anda seorang peminat motosikal lumba sejati anda mesti akan bersetuju dengan kami yang jentera perlumbaan dua roda terbaik ialah motosikal warisan GP500 dengan enjin 2-lejang. Ledakan kuasa 195 bhp dengan berat keseluruhan 130 kilogram memang agak melampau tetapi inilah senjata paling berkesan untuk menawan mana-mana litar di dunia ini.

Sebelum korang ceramahkan kami pasal enjin macam ni bising dan mengganggu ketenteraman awam fahamkan satu perkara je, ia untuk kegunaan di litar sahaja dan bukannya untuk keluar merayau malam-malam. Mencemarkan alam sekitar? Aduh, cuba tengok asap kilang lagi dasyat der, dah la takde bunyi. Kira membunuh dalam senyap jugak la kan?

Ia asalnya menggunakan enjin bersaiz kompak 500cc sejukan cecair tetapi ia telah dinaik taraf sehingga 576cc untuk tork. Enjin V4 ini dipilih kerana ia cukup kecil dan ringan dan mampu menghasilkan 195 bhp kuasa maksima pada 13,000 rpm. Ia turut dilengkapi dengan sepasang fork hadapan Ohlins FGR dan suspensi belakang TTX yang boleh laras mengikut keperluan dan keadaan litar. Suspensi dengan spesifikasi MotoGP dan brek cakera karbon juga boleh dipasang berdasarkan tempahan.

BACA: MEMORI JENTERA MOTOGP – GP500 2 LEJANG

Salah seorang pelanggan pertama yang membeli MMX500 berkata beliau membelinya kerana beliau membesar bersama-sama dengan motosikal 2-lejang. Motosikal pertama beliau ialah Suzuki RG250 yang kemudiannya dinaiktaraf kepada Yamaha RD400. Beliau menggunakannya selama 13 tahun dan cukup yakin dengan motosikal 2-lejang yang dimiliki.

Beliau juga mengalami kecederaan pada bahagian lidah pertama kali menunggang MMX500 kerana belum membiasakan diri dengan motosikal ini yang cukup liar. Seminit pertama dihidupkan, Suter MMX ini menghasilkan bunyi seperti enjin semput dan hampir mati tetapi bila ia mula memecut di litar Lausitzring, Jerman, tayar hadapannya mula terangkat dan MMX500 ‘menumbuk’ beliau di bahagian muka. Tiada masa untuk berfikir tiada masa untuk mengelak. Yang ada hanya rasa sakit selepas itu.

Motosikal ini diilhamkan oleh bekas pelumba GP iaitu Eskil Suter yang kini menjadi jentera sebenar. Ia hasil dari cita-cita beliau untuk menghasilkan sebuah motosikal yang eksotik dan dikuasakan dengan enjin V4 dua-lejang kerana menurut Suter ia merupakan kombinasi yang paling menyeronokkan bagi sebuah jentera perlumbaan.

Namun jalan ke arah kejayaan memang bukannya mudah. Mereka harus mula membina motosikal ini daripada asas. Pada awalnya mereka cuma mempunyai enjinyang diperlukan sebelum mula menghasilkan kerangka, ia dihasilkan secara tempaan CNC (menggunakan kawalan komputer) dan dihasilkan menepati spesifikasi GP.

Motosikal ini kemudiannya dilengkapkan dengan rim-rim OZ daripada magnesium, suspensi terbaik keluaran Ohlins dan ekzos custom Akrapovic. Kuasa henti motosikal sehebat ini diberikan oleh brek-brek keluaran Brembo. Keseluruhan panel badan dan tangki minyak dihasilkan daripada gentian karbon sepenuhnya.

Prototaip pertama berjaya disiapkan untuk diuji. Walaupun enjinnya berfungsi dengan cukup baik tetapi mereka tidak berpuas hati dengan kuasanya. Jadi mereka mula membina kembali prototaip kedua dengan enjin 576cc V4. Ini satu tugas besar kerana mereka bermula dri kosong kembali. Tetapi hasilnya adalah cukup memuaskan. Enjin tersebut kemudian dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan daripada SRT dan menggunakan klac kering yang dibangunkan oleh Suter sendiri. ECU pula adalah keluaran Mectronik yang biasa menghasilkan ECU untuk jentera-jentera perlumbaan.

Sebaik dihidupkan, bau enjin 2-lejang memang berbeza daripada enjin biasa, begitu juga dengan deruman eksosnya yang memang menyakitkan hati budak-budak WeChat yang asyik layan games kat telefon pintar keluaran Taiwan. Bila ia diuji dilitar, ia akan membelah litar dengan garang sambil meninggalkan asap kebiru-biruan sebelum menghilang. Ianya tidak lama sebelum ia muncul kembali selepas habis satu pusingan dan kembali menyerang dengan bunyi ekzosnya yang membingitkan. (Fuh, dah macam novel la pulak).

Okey, sedikit info pasal Suter ni. Sebaik menubuhkan Suter Racing Technology dalam tahun 1996, warga Swiss ini terlibat dalam pembinaan casis untuk motosikal GP MuZ, Petronas FP1 dan jentera perlumbaan Forward Racing BMW. Dengan tiga kejuaraan pengeluar bagi motosikal yang dihasilkan ditambah pula dengan kemenangan Marc Marquez dalam Moto2, Suter ni memang bukan calang-calang orangnya.

Suter MMX500 ni memang bukan motosikal untuk amatur, walaupun mempunyai kuasa yang agak melampau, ia tidak dilengkapi ABS dan kawalan cengkaman (traction)/wheelie control. Macam kami cakap tadi, ia bukan motosikal untuk bersiar-siar. Malah kelajuan maksimanya juga mencecah 310 km/j.

Okey macam mana pula dengan harganya? Macam biasa memang tak masuk akal kalau anda membandingkannya dengan motor-motor produksi lain. Harus diingat motosikal ini merupakan binaan khusus untuk perlumbaan oleh mereka yang berpengalaman dan tahu apa yang perlu dibuat. Sediakan sahaja sekitar RM500,000 jika berhasrat untuk memilikinya. Jika cukup syarat (RM) dan berhasrat memilikinya, Suter Racing boleh dihubungi melalui nombor telefon +41 52 397 10 60.

Saksikan pautan video pelancaran Suter MMX 500 di bawah:

 

Google ads
"
"
Back to top button