
SUV CONVERTIBLE PERTAMA DUNIA
Land Rover mendedahkan SUV (kenderaan utiliti sport) kompak convertible pertama dalam dunia. Range Rover Evoque Convertible itu menggabungkan rekaan berani dan kehalusan buatan model Evoque.
Sebagai ahli kelima keluarga Range Rover dan model pertama convertible, Range Rover Evoque itu menggabungkan rekaan mewah tradisional Range Rover. Ia menawarkan empat tempat duduk dan ruang simpanan yang versatil.
Range Rover Evoque Convertible dibangunkan dengan memenuhi piawaian paling ketat Land Rover. Ini bagi memastikan ketegaran struktur, tahap keselamatan tertinggi dan keupayaan keluasan yang tiada tandingan.
Pengarah dan Ketua Pegawai Kreatif Rekaan Land Rover, Gerry McGovern menyatakan bahawa Range Rover Evoque Convertible ialah kenderaan untuk semua musim.
“Reka bentuk yang unik dan kejuruteraan bertaraf dunia menambah satu lagi dimensi kepada keluarga Range Rover, meningkatkan lagi keinginan dan tarikannya,” kata McGovern.
Pihak Land Rover menggunakan bumbung soft top yang diperbuat daripada fabrik. Mekanisme lipatan-Z yang sama rata dengan bentuk badan belakang apabila diturunkan nyata lebih kemas.
Proses lipatan bumbung fabrik berkenaan mengambil masa hanya 18 saat. Tempoh untuk menaikkannya semula dilakukan dalam tempoh 21 saat ketika kenderaan bergerak pada kelajuan sehingga 48km/j. Di samping itu, posisi simpanan bumbung berkenaan tidak akan memberi kesan kepada ruang simpanan di belakang. Land Rover juga bermurah hati menawarkan ruang but seluas 251 liter.
Pada bahagian kabin, Evoque Convertible dilengkapi skrin sentuh bersaiz 10.2 inci yang baru. Bersama gabungan sistem hiburan generasi terkini Jaguar Land Rover iaitu InControl Touch Pro.
Sistem multimedia InControl Touch Pro menawarkan gabungan telefon pintar, navigasi, sambungan 3G dan sistem bunyi premium.
Dari segi mekanikal, Range Rover Evoque Convertible didatangkan dengan pilihan enjin Si4 petrol dan 2.0L Ingenium diesel.
Evoque Convertible disokong oleh keupayaan mengharung pelbagai bentuk permukaan bumi bertaraf dunia Land Rover. Ia menggunakan teknologi yang sama dengan Evoque lima pintu dan Coupé. Pilihan rangkaian pacuan empat roda digabungkan turut dengan transmisi automatik 9 kelajuan Land Rover, Terrain Response System, Wade Sensing dan All-Terrain Progress Control.
Ciri keselamatan Roll-Over Protection Device tidak diabaikan. Evoque Convertible dilengkapi bar roll-over yang disembunyikan di bahagian belakang. Terdiri daripada dua bar aluminium, ia akan beroperasi dalam tempoh 90millisaat sekiranya kereta terbalik untuk mewujudkan ruang selamat kepada penumpang.
Range Rover Evoque Convertible dikeluarkan di kilang Land Rover Halewood di United Kingdom. Model tersebut akan mula dijual pada musim bunga 2016 di 170 pasaran di seluruh dunia.