
SUV PECUT SENDIRI SEHINGGA CECAH 193 KMJ – BERJAYA DIHENTIKAN DENGAN BANTUAN POLIS
Seorang pemandu berusia 18 tahun alami detik mencemaskan bila Honda Pilot yang dipandu beliau tiba-tiba memecut sendiri walaupun pedal minyak tidak ditekan. SUV tersebut mencecah kelajuan 193 kmj dan usaha beliau menekan pedal brek langsung tidak berkesan. Tak nak bayang kalau berlaku macam ni. Ini bukan benda disengajakan macam memandu laju dalam hujan lebat tanpa menggunakan otak.

Insiden berlaku di Becker County, Minnesota pada petang 17 September lalu. Sam Dutcher dalam perjalanan pulang ke rumah di North Dakota dengan memandu SUV milik keluarga ketika insiden tersebut berlaku.
Menurut Sam, Honda Pilot 2022 itu memecut secara berterusan walaupun beliau sudah melepaskan pedal minyak. Beliau cuba menekan brek dan meletakkan gear pada posisi Neutral tapi masih gagal memperlahankan SUV tersebut. Beliau tiada pilihan selain terus memandu di Interstate sambil mengelak trafik.

Usaha beliau untuk menghubungi talian 911 gagal jadi beliau menghubungi ibu beliau untuk meminta bantuan polis. Peronda lebuhraya Zach Gruver berjaya mengesan SUV yang dipandu Sam. Beliau segera memintasnya sebelum menekan brek di hadapan Honda Pilot yang mengakibatkan sistem keselamatan untuk mengelak kemalangan diaktifkan.
Ia membantu memperlahankan Honda tersebut dan berdasarkan laporan, hentaman antara keduanya berlaku pada kelajuan 80 kmj. Tak kisahlah kedua-dua kenderaan rosak pun. Janji semuanya selamat tanpa apa-apa kecederaan.
Kemalangan terkawal tersebut dirakam kamera perakam kereta peronda dan berjaya menyelamatkan Sam dan pengguna jalan raya lain dari segala kemungkinan yang mungkin berlaku. Syukur juga la masa operasi tersebut dijalankan tiada kenderaan lain di kawasan berhampiran.
Sam terpaksa bergelut untuk mengawal SUV yang bergerak laju sejauh hampir 48 kilometer sebelum berjaya diselamatkan.
Ibu Sam ketika ditemubual menyatakan Honda Pilot tersebut sebelum ini sudah pun dihantar ke pusat servis akibat masalah pendikit yang tersangkut. Bahaya betul kalau berlaku kes-kes macam ni.

Nasib baik juga kereta peronda Dodge Charger yang digunakan oleh peronda tersebut cukup berkuasa dan laju untuk menghentikan SUV tersebut dengan selamat. Ini mungkin jawapan kepada kaki-kaki komplen yang suka bertanya kenapa polis atau pun pihak berkuasa kena pakai kereta yang besar dan mahal-mahal. Habis tu kalau polis peronda pakai kereta kompak boleh ke membantu dalam situasi macam ni?