SIAPA BAGI IDEA TIMING BELT RENDAM DALAM MINYAK ENJIN?
Dalam usaha untuk mengurangkan lagi pelepasan asap, pelepasan gas berbahaya seperti sulfur dioksida, nitrogen dioksida, karbopn dioksida dan jelaga, salah satu cara yang digunakan oleh pengeluar kenderaan daripada Eropah ialah dengan menggunakan enjin bersaiz kecil.
Enjin dengan sesaran kecil mampu mengurangkan semua pelepasan asap, namun enjin ini akan mengalami masalah penghasilan tork yang serius pada RPM yang rendah. Masalah ini hanya boleh diatasi dengan penggunaan turbo, membantu penghasilan tork yang tinggi bagi membantu enjin kecil ini digunakan pada SUV yang besar
Seterusnya dalam usaha untuk menjadikan enjin ini lebih efisyen, jurutera mendapati penggunaan timing chain adalah kurang bagus kerana ia bersifat parasitic. Ia akan menyebabkan geseran dalaman yang tinggi pada enjin dan seterusnya akan mengurangkan kuasa enjin walaupun lebih tahan lasak.
Jurutera Ford mendapati selain mengurangkan parasitic loss, penggunaan timing belt juga memberikan beberapa kelebihan lain pada enjin mereka. Ketika membangunkan enjin 3 silinder 1000cc turbo, timing belt telah dipilih berbanding timing chain kerana penggunaan timing belt mampu menyerap sebarang gegaran daripada enjin
Keadaan ini juga membantu menjadikan enjin lebih senyap berbanding dengan timing chain. Timing belt juga boleh direka dengan lebih ringkas dan kompak berbanding dengan timing chain, menjadikan keseluruhan enjin lebih kecil.
Namun kelemahan timing belt ialah, ia dihasilkan daripada getah, dan dalam sesetengah keadaan enjin boleh mengalami masalah kebocoran minyak pelincir dan akhirnya menyebabkan kerosakan pada timing belt.
Timing belt akan kembang, rosak, pecah, dan terurai jika didedahkan pada minyak pelincir dalam satu sela masa yang lama. Jadi kebanyakan pemerhati automotif kaget dengan keputusan Ford untuk menghasilkan enjin dengan timing belt direndam sepenuhnya di dalam minyak pelincir sepanjang masa.
Malah lebih membingungkan ialah keputusan Ford untuk memanjangkan tempoh sela masa servis timing belt basah ( atau disebut wet timing belt) ini kepada 200,000km ataupun 10 tahun disebabkan ia mendapat pelinciran daripada minyak enjin dan boleh beroperasi pada suhu yang lebih rendah.
Dakwaan tersebut datang daripada Ford, walaupun ramai penganalisis, pakar automotif dan pihak yang biasa menjalankan servis kenderaan menentang idea tersebut.
Namun Ford mendakwa timing belt yang digunakan oleh mereka adalah produk terbaru, dirumus daripada getah (hydrogenated nitrile butadiene rubber) dan disalut dengan Polytetrafluoroethylene (PTFE)
Malah Ford mendakwa penggunaan timing belt baru ini yang direndam dalam minyak memberikan penjimatan bahan api sebanyak 1%, disebabkan geseran antara gigi gear dan timing belt berkurang. Kalau anda berbelanja RM 300 sebulan untuk petrol, penjimatan anda ialah RM 3 sebulan.
Secara jujurnya, jurutera automotif sangat struggle untuk mencapai penjimatan bahan api. Jadi angka 1% ini sebenarnya nampak besar pada pendapat mereka. Maka tidak hairanlah inovasi ini ditiru oleh Renault, Volkswagen, Opel, Vauxhall, Peugeot. Malah Honda turut menggunakan wet timing belt pada enjin diesel untuk pasaran Eropah
Namun selepas diperkenalkan pada tahun 2012, dan data yang dikutip sehingga tahun 2024 mendapati enjin yang dipasang dengan wet timing belt adalah satu kesilapan yang besar. Antara dapatan yang ditemui ialah wet timing belt gagal mencapai 200,000km, ada yang mengalami kegagalan sebelum 100,000km dan majoriti wet timing belt perlu diganti sebelum 100,000km
Jadi apa sebenarnya yang berlaku??
Rujuk semula pada perenggan pertama dan kedua, wet timing belt diperkenalkan serentak dengan teknologi turbo. Penggunaan turbo akan menghasilkan haba yang akan diserap oleh minyak pelincir. Keadaan ini akan menyebabkan suhu minyak pelincir meningkat dan seterusnya menyebabkan minyak pelincir “rosak”.
Apabila minyak pelincir gagal mengekalkan formulasi asalnya, ia akan menyebabkan wet timing belt terdedah kepada minyak pelincir yang sudah tercemar dengan pelbagai bahan kimia yang akhirnya merosakkan wet timing belt.
Terdapat laporan menyatakan yang wet timing belt ini mengembang melebihi ukuran asal, dan ada wet timing belt yang mula merekah dan membebaskan serpihan getah yang akhirnya mencemari minyak enjin. Serpihan getah ini akhirnya akan menyumbat strainer (penapis) pam minyak enjin.
Akhirnya enjin gagal mendapat bekalan minyak pelincir yang cukup, mengalami kehausan luar biasa apabila piston bergesel dengan silinder yang akhirnya akan menyebabkan kegagalan enjin. Luar biasa hebat!!!