Buletin

SUZUKI FOKUS PELAN NEUTRALITI KARBON, SASAR LAPAN MODEL MOTOSIKAL ELEKTRIK MENJELANG 2030

Setelah meninggalkan kancah perlumbaan MotoGP pada 2022, Suzuki kini boleh fokus sepenuhnya terhadap pelan neutraliti karbon dan menyiapkan motosikal elektrik pertama yang dijangka siap pada 2024.

Dalam ‘strategi pertumbuhan FY2030’, Suzuki mengumumkan bahawa kenderaan dua roda berkuasa elektrik pertamanya akan diperkenalkan pada tahun kewangan 2024 dalam kelas kapasiti kecil hingga pertengahan yang boleh disimpulkan sebagai kelas komuter.

Suzuki turut merancang untuk memiliki lapan model motosikal elektrik menjelang 2030 yang akan membentuk 25 peratus daripada senarai rangkaian model sedia ada.

Suzuki bakal melakukan proses neutraliti karbon di Suzuki Smart Factory Creation yang akan mengoptimumkan proses pembuatan dan mungkin mengurangkan penggunaan tenaga.

Kilang pengeluaran terbesar Suzuki di Kosai, Jepun pula akan fokus kepada kemudahan mengecat boleh diperbaharui, selain membuat hidrogen ‘hijau’ sendiri. Sejak akhir tahun lalu, ia telah digunakan dalam pengangkut sel bahan api.

Di Hamamatsu, pusat pengeluaran utama motosikal, Suzuki telah mengembangkan kapasiti penjanaan tenaga solarnya. Kilang itu menyasarkan neutraliti karbon menjelang 2027 (sasaran awal ialah 2030).

Menurut Suzuki, sebanyak AS$30 bilion (RM127 bilion) bakal dilaburkan menjelang FY2030, sementara AS$15 bilion (RM64 bilion) akan dimasukkan ke dalam pelaburan elektrifikasi.

Selain motosikal elektrik, Suzuki juga akan meneroka bidang CNG, biogas (hasil najis lembu di India) dan bahan api campuran etanol sebagai alternatif kepada bahan api fosil untuk kereta keluarannya.

Google ads
"
"
Back to top button