Buletin

WRC 2023 – SEBELUM RALLY SWEDEN, PEMANDU WRC BERLUMBA DAHULU DI RALI KEBANGSAAN

Usai tamat perlumbaan pembukaan FIA WRC musim 2023 di Rallye Monte-Carlo, tumpuan peminat rali pastinya terarah ke perlumbaan kedua, Rally Sweden yang bakal berlangsung lebih kurang dua minggu daripada sekarang (9 – 12 Februari 2023).

Namun, disebalik jarak tempoh masa yang agak hampir, ada beberapa kelibat pemandu utama WRC bakal beraksi dalam aksi kejohanan rali peringkat kebangsaan di sekitar Eropah. Pemandu utama pasukan M-Sport Ford, Ott Tanak dijangka beraksi dalam kejohanan Otepää Rally di Estonia pada 4 Februari ini bersama jentera Ford Puma Rally1.

Manakala dua lagi pemandu utama WRC, Esapekka Lappi dan juga Takamoto Katsuta bakal beraksi di kejohanan Kuopio Ralli di Finland bersama jentera masing – masing, Hyundai i20 N Rally1 dan juga Toyota GR Yaris Rally1 yang dijangka berlangsung serentak dengan kejohanan Otepää Rally.

Ironinya, kedua kedua kejohanan rali ini adalah merupakan perlumbaan musim sejuk membabitkan permukaan bersalji. Sudah pasti ianya merupakan suatu ujian berbentuk perlumbaan bersalji yang cukup ideal sebelum bermulanya Rally Sweden, yang cukup terkenal dengan permukaan bersalji itu.

Paling penting sebenarnya, bermula tahun 2023 ini, undang – undang berkaitan sesi ujian jentera Rally1 telah diperketatkan. Kini setiap pengeluar hanya mempunyai 21 hari sahaja untuk menguji jentera masing – masing sepanjang tahun. Dalam erti kata lain, ianya adalah terhad kepada tujuh hari sahaja kepada seorang pemandu sekiranya setiap pasukan mempunyai tiga buah jentera Rally1.

Dan dengan menyertai mana – mana perlumbaan yang ada, ianya tidak dikira sebagai sesi ujian. Maka ianya dianggap sebagai alternatif pilihan buat pasukan dan pemandu untuk mengikutinya bagi mendapatkan tetapan terbaik mengikut pilihan situasi permukaan yang ada kelak.

Bagi Ott Tanak, sudah tentu ianya sesuatu perkara yang menarik untuk berlumba di Estonia disamping berpeluang untuk memandu jentera Ford Puma Rally1 sementelah baru sekali sahaja menguji penuh jentera tersebut di Monte Carlo. Di Monte Carlo, Ott Tanak sebetulnya pernah berada di kedudukan tiga teratas namun mengalami masalah stereng yang mengakibatkan beliau akur untuk berada di tempat kelima keseluruhan.

BACA : WRC 2023 – SEBASTIAN OGIER MENANG BUAT KALI KESEMBILAN DI MONTE CARLO

BACA : WRC 2021 – ARTIC RALLY FINLAND HUJUNG BULAN FEBRUARI INI GANTI RALLY SWEDEN

Google ads

B K

Back to top button