Buletin

TAHUKAH ANDA? DAH 4 JUTA ENJIN SANGKUT SUZUKI KELUARKAN!

Satu daripada syarikat Jepun yang serba boleh adalah Suzuki Motor Corporation. Syarikat itu menghasilkan kereta, motosikal, kenderaan serba rupa bumi (ATV), enjin kecil dan juga enjin sangkut!

Tahukah anda? Pengeluaran enjin bot Suzuki telah pun mencecah empat juta unit pada 27 Oktober 2022!

Ianya satu pencapaian hebat sejak Suzuki mula mengeluarkan enjin sangkut pada tahun 1965 di Takatsuka, Hamamatsu, Jepun.

Sehingga kini Suzuki mengeluarkan pelbagai jenis enjin sangkut dari 2.5 kuasa kuda (hp) hingga 350 hp.

Rekod pengeluaran empat juta diwakili enjin sangkut DF350AMD yang dikeluarkan di kilang Kosai, Shizouka, Jepun dan merupakan model baharu dan andalan Suzuki.

Selain enjin berkuasa tinggi, Suzuki juga mengeluarkan enjin sangkut dengan perkakasan yang boleh mengutip plastik halus (Micro-Plastic Collecting Device).

Sistem itu berfungsi dengan menapis air yang digunakan untuk menyejukkan enjin dan satu idea yang inovatif!

Menyoroti sejarah, Suzuki mula mengeluarkan enjin sangkut pertama D55 di Takatsuka pada Februari 1965.

Pada 1979, operasi pengeluaran dipindahkan ke Toyokawa, Aichi dan produksi bermula pada bulan Mei.

Sepuluh tahun berikutnya atau pada 1989, pengeluaran enjin sangkut mencecah sejuta unit!

Satu lagi fakta penting ialah enjin sangkut Suzuki turut dikeluarkan di negara jiran Thailand atau lebih tepat bermula pada Oktober 1999.

Melalui dua kilang, enjin sangkut jenis besar dan sederhana dikeluarkan di Kosai manakala enjin sangkut kecil dibuat di Thailand.

Rekod pengeluaran dua juta unit pula berjaya dicapai pada 2004. Pada Julai 2008 Suzuki menubuhkan Pusat Teknikal Marin di Kosai.

Suzuki sekali lagi mencatat sejarah apabila enjin ketiga juta dicatatkan pada 2014.

Pada Jun 2017, enjin sangkut andalan DF350A dikeluarkan dan merupakan asas kepada enjin DF350AMD yang dinyatakan di atas.

Selepas Toyokawa, pengeluaran enjin dipindahkan ke Kosai pada 2018 dan produksi bermula pada bulan Mei.

Pada Mac 2020, Pusat Teknikal Marin Suzuki Amerika Syarikat ditubuhkan di Florida.

Sebagai syarikat global, Suzuki mengeksport enjin sangkut ke 174 buah negara dan rantau di serata dunia!

Kredit foto: Suzuki

BACA: SUZUKI BURGMAN STREET 125EX, MODEL BURGMAN TERKECIL!

BACA: SUZUKI CARRY – INILAH DIA RAJA PIKAP DI INDONESIA

BACA: SUZUKI GSX-8S 2023, ENJIN 776CC BERKEMBAR SELARI, REKA BENTUK BOLEH TAHAN!

Google ads
Back to top button