Buletin

SUZUKI JIMNY DIJANGKA MEMPUNYAI SUSUT NILAI RENDAH (RV TAK JATUH BANYAK)

Tahun lalu begitu banyak model kereta yang menarik dilancarkan. Dalam banyak-banyak pelancaran tersebut Suzuki Jimny mendapat perhatian meluas.

Jip ini biasa sahaja, reka bentuk pun ikut gayaan retro, teknologi tidak luar biasa malah rating Euro NCAP hanya mendapat tiga bintang. Namun itu semua tidak menghalang Jimny daripada diburu peminat.

Di United Kingdom misalnya pelanggan terpaksa menunggu sehingga setahun bagi mendapatkan unit mereka. Malah pengedar tidak lagi menerima deposit kerana bimbang tidak dapat memenuhi permintaan.

Suzuki memperuntukkan 1,200 unit Jimny sahaja di UK tahun ini dan dengan sambutan yang diterima sebanyak 2,000 unit akan dihantar pada tahun depan.

Terbaru di UK, pakar industri iaitu CAP Automotive mengeluarkan satu laporan positif untuk Jimny. Berdasarkan formula kiraan CAP iaitu tiga tahun dan jarak perjalanan 60,000 batu dalam laporan Gold Book Januari 2019, nilai Jimny SZ5 adalah pada 52 peratus.

Jika dipandu dengan jarak lebih rendah iaitu 36,000 batu dalam masa tiga tahun dan mempunyai rekod pemilikan yang baik, nilai unit terpakai adalah pada 61 peratus.

Makna kata tidak rugi beli Jimny asalkan ia dijaga dengan baik. Jumlah 61 peratus itu sebenarnya adalah bersamaan dengan harga kereta super.

Pengguna yang tidak mahu rugi banyak eloklah mendapatkan Jimny ini. Usahkan di UK malah Jimny yang berusia berpuluh tahun masih lagi mempunyai harga keras di negara kita.

Walaupun reka bentuk Jimny patah semula kepada beberapa dekad lalu, kelengkapan model baharu tidak ikut serta.

Jimny SZ4 mempunyai seleksi 4WD dengan alihan nisbah rendah (low ratio transfer), Sokongan Brek Dua Sensor (DSBS), sambungan Bluetooth dan Kawalan Jelajah.

Jimny SZ5 pula lebih mewah dengan roda aloi 15 inci, lampu utama LED, kawalan suhu, sistem navigasi dengan sambungan telefon pintar, cermin belakang privasi dan kerusi depan dengan pemanas.

Sejak generasi pertama dilancarkan pada April 1970, Jimny adalah ikon yang membawa teknologi 4WD Suzuki.

Jimny adalah satu-satunya jip off-road yang kecil dan ringan dan pada sama mempunyai karakter off-road yang dimahukan oleh profesional dalam bidang ini.

Walaupun popular, sela masa model Jimny agak lama. Model ketiga diperkenalkan pada tahun 1998 dan dalam tempoh dua dekad barulah Jimny baharu ditawarkan iaitu pada tahun lalu.

Dalam masa 50 tahun baru ada empat generasi Jimny. Tidak kisah lah berapa tahun, harapnya ada pengimport bebas yang membawa masuk Jimny ini dari Jepun. Harganya pula jangan keras cokeng!

BACA: TUNER JEPUN DAMD TUKAR SUZUKI JIMNY JADI G-CLASS & DEFENDER

BACA: CHOK G1 – JELMAAN SUZUKI JIMNY YANG TAMPAK ORAIT JUGA

Google ads
Back to top button