
SYARIKAT PEMULA DARI MALAYSIA, HIPERON MOTORS BAKAL PERKENAL FOSSLIN – SUV MEWAH BERKUASA ELEKTRIK DAN HIDROGEN
Syarikat pemula dari Malaysia, Hiperon Motors bakal memperkenalkan SUV mewah berkuasa elektrik dan hidrogen bernama Fosslin.
Untuk rekod, Hiperon Motors pernah melancarkan van elektrik yang digelar sebagai Hiperon Carrier pada 2021.
Walaupun Hiperon Motors berasal dari Malaysia, tetapi reka bentuk model mendapat sentuhan daripada One One Lab dari Eropah, manakala kerja kejuruteraan dilakukan di Amerika Syarikat.
Mengenai Hiperon Fosslin, syarikat itu akan menghantar 10 unit terawal pada suku ketiga 2023.

Menerusi imej yang disiarkan, Hiperon Fosslin mempunyai dimensi 4,880mm panjang, 1,990mm lebar, 1,689mm tinggi, jarak roda 2,950mm.
Hiperon Fosslin tampil dengan gril bertutup sepenuhnya, unit lampu LED, tingkap tanpa bingkai serta disepadukan bersama spoiler di bahagian belakang.
Walau bagaimanapun, perincian di dalam kabin masih belum didedahkan setakat ini. Tetapi menurut syarikat, Fosslin menggunakan skrin OLED bersaiz 17 inci.
Perincian lain bagi Fosslin termasuklah terdapat kawalan iklim tiga zon automatik, tempat duduk yang dipanaskan, tempat letak tangan, paparan kepala, navigasi, sistem bunyi 3D, enam slot USB dan pad pengecas tanpa wayar.
Hiperon Fosslin kemungkinan menerima kuasa daripada pek bateri 95kWj dengan jarak gerak 450km, sementara motor elektrik pula berupaya menghasilkan kuasa 480hp dan tork 670Nm.
Kuasa tersebut membolehkan Fosslin memecut 0-100km/j dalam masa lima saat dengan kelajuan maksimum dihadkan pada 260km/j.
Selain model baharu, Hiperon turut merancang mengeluarkan lima unit model bateri elektrik dan lima unit hidrogen Fossil dengan penghantaran pertama dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.
GALERI:





