Buletin

TAHUKAH ANDA ŠKODA AUTO BERMULA DENGAN BASIKAL?

Menelusuri sejarah pengeluar automotif dunia ialah betapa menariknya mereka bermula. Satu perkara hampir sama ialah pengasas syarikat automotif mempunyai karakter yang kuat.

Ini pula kisah ŠKODA Auto yang bermula pada 1895. Dua individu yang sangat menggemari basikal iaitu Václav Laurin, seorang mekanik dan Václav Klement, seorang penjual buku mula mereka bentuk  dan mengeluarkan basikal di bawah nama Laurin & Klement. 

Jika Soichiro Honda tidak berpuas hati dengan Toyota dan Ferruccio Lamborghini tidak berpuas hati dengan Ferrari, Václav Klement pula tidak berpuas hati dengan basikal buatan Jerman yang tidak dibaiki oleh pengeluarnya akibat masalah bahasa.

Voiturette A

Menyedari potensi perniagaan basikal, Václav Klement bersama-sama Václav Laurin membuka kedai membaiki basikal. Václav Laurin sebelum itu adalah pengeluar basikal di bandar berhampiran Turnov, Republik Czech.

Basikal pertama Laurin & Klement mendapat sambutan hangat dan kedua-dua pengasas itu mengambil langkah seterusnya dengan menambah enjin.

Syarikat mula mengeluarkan motosikal pada 1899 dan menghasilkan hampir 4,000 unit pelbagai jenis.

Laurin & Kement 110

Mereka kemudian mula bereksperimen dengan fenomena baharu iaitu kereta bermotor dan secara berperingkat mula menggantikan motosikal pada 1905 dan tahun-tahun seterusnya.

Pada era awal 1900an, Laurin and Klement sekali lagi memperolehi kejayaan besar melalui kenderaan pertama mereka iaitu Voiturette A.

Apabila Perang Dunia Pertama tercetus pada 1914, syarikat mula menjadi pembekal kepada pasukan tentera. 

Tudor

Disebabkan keadaan ekonomi di Bohemia pada masa itu, Laurin dan Klement memerlukan rakan kongsi perindustrian yang kuat bagi mengukuh dan memodenkan syarikat mereka.

Laurin & Klement pada masa itu tidak hanya mengeluarkan pelbagai jenis kereta tetapi turut terlibat dalam pembuatan lori, bas, enjin kapal terbang, jentera pertanian dan mesin bajak bermotor.

Bagi mencapai impian untuk membina syarikat lebih besar, Laurin & Klement bergabung dan dibeli oleh firma kejuruteraan Škoda Works dari Plzeň pada 1925.

Syarikat adalah pengilang mesin, jentera dan peralatan ketenteraan seperti senjata api dan sebagainya. Syarikat asalnya ditubuhkan pada tahun 1859 oleh kerabat Waldstein dan Emil Škoda mengambil alihnya pada 1869.

SKODA 110R

Sejak itu logo anak panah bersayap (winged arrow) digunakan pada semua kenderaan yang dihasilkan di Mladá Boleslav. Model kereta pertama yang dihasilkan dari kerjasama itu ialah Laurin & Klement / SKODA 110.

Model itu mempunyai beberapa jenis bumbung seperti soft-top dan hard-top. Rekabentuk jenis modular membolehkan bahagian belakang ditukar menjadi pikap dua tempat duduk dan menjadi kenderaan dua kegunaan.

Pada hari biasa digunakan untuk kenderaan kerja dan hujung pula untuk pengangkutan keluarga.

SKODA Superb

Selepas tahun 1945, syarikat berpisah selepas keseluruhan ekonomi Czechoslovakia berada di bawah kawalan kerajaan.  

Pada 1989 dan tahun seterusnya, suasana politik Czechoslovakia berubah dan di dalam tempoh itu kerajaan baharu mula mencari rakan kongsi asing yang kukuh dalam memastikan kelangsungan jangka masa panjang syarikat di arena antarabangsa.

Pada Disember 1990, kerajaan telah memilih Volkswagen dan kerjasama bermula pada tahun berikutnya. ŠKODA adalah jenama keempat di bawah Kumpulan Volkswagen di samping VW, Audi dan SEAT.

Kini selepas 125 tahun penubuhannya, ŠKODA mempunyai operasi aktif di lebih 100 pasaran global dan pada tahun 2019 mencatat jualan sebanyak 1.24 juta kenderaan.

Tags
Google ads
Back to top button