Buletin

INI LAKARAN HYUNDAI i10 BAHARU – LAWA TAK?

Hyundai Motor tampil sederhana di negara kita, walaupun model yang dipasarkan tidak selengkap pasaran luar tetapi ianya sentiasa terkini. Di antara model baharu yang boleh dimiliki pengguna tempatan ialah Tucson, Elantra, Santa Fe dan model canggih IONIQ.

Kesemua model tersebut adalah tawaran global kecuali satu yang belum dipasarkan di sini iaitu i10. Generasi pertama ditawarkan pada tahun 2008 di pasaran tempatan dan generasi kedua dilancarkan di peringkat global pada tahun 2013 dan ia tidak pernah kunjung tiba ke negara kita.

Tidak dapat dipastikan kenapa dan nampaknya mungkin tidak akan ditawarkan selepas generasi kedua hampir menemui penghujungnya.

Hyundai i10 pasaran tempatan pada tahun 2013.

Sempena Pameran Kenderaan Frankfut (IAA) 2019 yang bakal berlangsung 12 September depan, Hyundai Motor mendedahkan lakaran awal generasi ketiga i10 sebelum dipertontonkan secara rasmi pada acara tersebut.

Dari lakaran yang diberikan, i10 nampak dinamik dengan bahagian depan yang begitu menyerlah dan berlekuk sama seperti bahagian sisi. Menurut Hyundai, perkadaran (proportion) dan perincian ukuran sehingga saiz roda model baharu ini diharmonikan supaya kelihatan bertenaga dan tangkas.

Tiang C pula hadir dengan bentuk X dan tampak jelas walaupun dipandang dari jauh. Satu lagi keunikan ialah bentuk segi tiga (triangular) yang menyerlahkan lebar model ini yang juga menampakkan posisi roda pada keempat-empat sudut kereta.

Hyundai i10 generasi kedua

Hyundai merancang supaya i10 baharu menjadi peneraju di dalam segmennya melalui teknologi berhubung (connected) dan kelengkapan keselamatan.

Di antaranya ialah Blue Link®, Apple Car Play, Android Auto, pengecas telefon pintar tanpa wayar, Bantuan Pencegahan Pelanggaran Berdepan menggunakan radar untuk mengesan kereta dan pejalan kaki, Amaran Perhatian Pemandu dan Sistem Bantuan Pengekalan Laluan sebagai ciri standard.

Dari maklumat yang diberikan ini jelas Hyundai mahu i10 generasi ketiga berjaya dan memberi saingan sengit kepada model-model ternama lain.

Walaupun tampil sederhana di negara kita, Hyundai sebenarnya berada di dalam fasa agresif diperingkat global melalui model baharu seperti Sonata yang jauh berbeza daripada generasi sebelum dan famili SUV kompak Kona yang canggih dengan nadi kuasa petrol, hibrid dan elektrik.

Akhir kata, adakah i10 bakal kembali ke negara kita? Harapnya begitu dan Hyundai Sime-Darby Motor perlu memastikan pakej yang ditawarkan kompetitif bagi menyaingi model-model keluaran Perodua dan Proton.

BACA: INI HYUNDAI i10 UK, KENAPA MASIH BELUM DIJUAL MALAYSIA?

BACA: PANDU UJI: HYUNDAI TUCSON, KIMCHI TURBO DENGAN DCT YANG LAZAT

BACA: TRANSMISI 8 KELAJUAN HYUNDAI/KIA. CANGGIH? BENAR TUAN TUAN!

Google ads
Back to top button