Buletin

TAKUT DITIRU PENGELUAR CHINA, DEFENDER BAHARU AKAN TERUS DIPRODUKSI PADA 2018

Jaguar Land Rover mengesahkan bahawa ia akan memperkenalkan Land Rover Defender baharu pada lewat tahun 2018 dalam bentuk produksi sepenuhnya dan bukan sebagai model konsep.

Langkah itu diambil bangi mengelakkan daripada reka bentuknya ditiru oleh pengeluar kenderaan dari China. Menggunakan kod nama L663, Defender akan menjadi model penting sambutan ulang tahun ke-70 Land Rover tahun depan.

Pada tahun 2011, Land Rover ada mendedahkan model konsep DC100 (gambar). Namun reaksi negatif yang diterima membuatkan pasukan reka bentuk terpaksa merekanya semula.

Satu lagi sebab kerana pengenalan Defender ditanggungkan adalah kesukaran untuk menghasilkan pelan perniagaan yang mapan buat jentera off-road berkenaan.

Ketika menghampiri produksi terakhirnya, Defender generasi sekarang mampu dijual sekitar 20,000 unit setahun. Land Rover didakwa perlu menjual 100,000 unit Defender baharu setahun untuk menjadikannya sebuah model yang berbaloi dihasilkan.

Land Rover akan menggunakan platform D7u yang telah diperkukuhkan. Platform itu kini digunakan pada model-model seperti Range Rover, Range Rover Sport dan Discovery. Jentera itu dijana oleh keluarga enjin Ingenium yang bukan sahaja lebih menjimatkan bahan api. Malah, dapat memanfaatkan aspek skala ekonomi dan membolehkannya dijual di pasaran Amerika Syarikat dan Kanada. 

Land Rover mahu Defender baharu menjadi model off-road paling berkuasa pernah mereka hasilkan. Sebab itulah ia dipasang dengan pelbagai teknologi termasuklah sistem Terrain Response II yang kini ada pada model Discovery. 

Defender baharu dijangka mula dijual pada tahun 2019.

Google ads
Back to top button