
TAYCAN TURBO GT WEISSACH PACKAGE CATAT REKOD BAHARU DI TIGA BENUA
Porsche Taycan Turbo GT dengan pakej Weissach mencipta sejarah, meraih hatrik rekod baru di tiga benua, mencatatkan rekod kelajuan di Nürburgring Nordschleife, Weathertech Raceway Laguna Seca di California, dan Shanghai International Circuit.
Dengan catatan masa 2 minit 11.28 saat, pemandu ujian Porsche, Lars Kern, berjaya memecahkan rekod sebagai kereta pengeluaran siri terpantas di litar Formula 1 Shanghai.
Ini juga merupakan rekod pertama yang diiktiraf secara rasmi oleh litar tersebut.
Naib Presiden Model Line Taycan di Porsche, Kevin Giek berkata, “Setiap litar perlumbaan mempunyai cabaran unik.”

“Untuk membuktikan keupayaan lengkap Taycan Turbo GT dengan pakej Weissach, kami berusaha memecahkan rekod di tiga litar yang berbeza di seluruh dunia.”
Litar Shanghai yang licin akibat cuaca hujan tidak menghalang Taycan Turbo GT mencapai kelajuan tertinggi 300 km/j pada salah satu titik terpantas litar.
Penggunaan sistem drivetrain yang direka khas untuk daya cengkaman dan prestasi maksimum sekali lagi terbukti unggul, memberikan tambahan kuasa sehingga 120kW untuk 10 saat, membantu mencatatkan masa mengagumkan.
Bagi keselamatan, kereta yang memecah rekod ini dilengkapi dengan sangkar keselamatan dan tempat duduk perlumbaan.
Taycan Turbo GT dengan pakej Weissach juga menggunakan tayar Pirelli Trofeo RS untuk mencatatkan rekod ini.
Model Taycan Turbo GT dan Taycan Turbo GT dengan pakej Weissach dilancarkan pada musim bunga 2024, yang lebih berkuasa dan ringan, serta penggunaan bahan silikon karbida sebagai bahan semikonduktor pada gandar belakang.
Kedua-dua model ini mampu mencapai kuasa puncak lebih 1,100PS dan mempunyai pembinaan ringan yang mengurangkan berat sehingga 75kg berbanding Taycan Turbo S, hasil penggunaan komponen karbon.
Di Malaysia, kedua-dua model Taycan Turbo GT dan Taycan Turbo GT dengan pakej Weissach ditawarkan pada harga bermula RM 1,160,000.00 sebelum pilihan tambahan.


