
ENJIN CEPAT “KONG” – KALAU ISI RADIATOR GUNA AIR PAIP
Dalam satu video khusus untuk membuka dan memeriksa enjin lama yang dihasilkan oleh saluran Youtube “I Do Cars”, terdapat satu enjin JDM yang cukup popular satu ketika dulu namun berada dalam keadaan yang sangat menyedihkan ketika pemeriksaan dibuat
Enjin KA24DE yang dipasang pada model Nissan 240SX 1995 merupakan enjin 2400cc 4 silinder DOHC yang dihasilkan terus oleh kilang Nissan di Yokohama. Dalam keadaan baru, enjin ini berupaya menjana sekitar 155 kuasa kuda dan 217Nm tork, angka yang cukup sihat pada tahun 1995 dahulu.
Malah selain daripada digunakan utnuk Nissan 240SX, enjin ini juga turut digunakan bagi SUV seperti Nissan Xterra, Frontier, Presage dan juga Nissan Serena. Malah jika diselenggara dengan baik, enjin ini mampu bertahan sehingga 370,000km atau lebih jauh tanpa masalah
Menurut pengacara program iait Eric, enjin KA24DE ini diperolehi daripada sebuah Nissan 240SX yang telah mengalami kemalangan yang sukar untuk dibaiki semula. Namun berdasarkan keadaan enjin, Eric mendapati pemilik asal Nissan 240SX ini tidak menyelenggara enjin dengan baik
Berdasarkan pemerhatian Eric, terdapat beberapa tanda yang menunjukkan enjin ini telah berada dalam keadaan yang teruk. Antaranya ialah:
1. Terdapat air pada bahagian silinder enjin
2. Tedapatan enapan yang berwarna oren yang melekit dijumpai pada palam pencucuh
3. Laluan dan hos cecair penyejuk mengandungi enapan karat
Pada pendapat Eric, pemilik asal Nissan 240SX ini telah mengisi air paip biasa pada sistem penyejukan enjin dan radiator secara berterusan, bukannya secara sementara untuk kecemasan.
Hasil daripada menggunakan air paip biasa di dalam enjin dan sistem pentejukan ialah, ia akan menyebabkan tindakbalas kimia antara keluli dan juga aluminium yang akhirnya menghasilkan lumpur karat.
Lumpur karat ini akan menyebabkan laluan aliran cecair penyekuk tersumbat yang akhirnya menyebabkan masalah “overheat” dan kegagalan gasket kepala silinder. Akhirnya air akan memasuki silinder dan sebagai bukti minyak enjin yang berada dalam bekas takungan berwarna seakan warna susu.
Sekiranya pemilik asal menggunakan cecair penyejuk mengikut saranan pengeluar, masalah karat ini tidak akan berlaku. Jika pemilik asal membaiki enjin selepas kegagalan gasket kepala silinder, kemungkinan besar enjin ini masih boleh diselamatkan.
Namun apa yang menyedihkan ialah keadaan enjin yang telah berkarat termasuklah aci sesondol, aco enkol, kepala silinder dan juga piston yang telah tersangkut dalam silinder disebabkan masalah karat.
Sekiranya anda berada dalam kecemasan, menggunakan air paip sebagai cecair penyejuk adalah OK. Tetapi anda perlu menggantikan air paip kepada cecair coolant secepat mungkin bagi memanjangkan jangka hayat enjin


