
TRIUMPH TIGER SPORT 800 DIPERKENAL – 113.4HP, 83NM
Setelah mensiarkan ‘teaser’ beberapa minggu lalu, Triumph Motorcycles dengan rasminya memperkenalkan tawaran terbaru kali ini menerusi Tiger Sport 800.
Menurut Triumph dalam satu kenyataan, Tiger Sport 800 menawarkan gabungan antara jentera berprestasi tinggi dan kemampuan kembara (touring) yang terbaik.
Enjin

Ciri utama yang harus diberikan tumpuan pada Tiger Sport 800 ini adalah pada ruangan enjin. Ini kerana model ini dikuasakan platform tiga silinder 800cc baharu yang berupaya menjana 113.4hp (115ps) pada 10,750rpm dan 84Nm pada 8,500rpm. Triumph mendakwa 90 peratus tork tersedia di setiap peringkat ‘rev’ enjin.
Kuasa enjin pula disalurkan menerusi transmisi manual 6-kelajuan dengan Triumph Shift Assist (quickshifter) didatangkan secara standard bersama-sama klac assist/slipper.
Casis dan ergonomik

Sementara itu, Tiger Sport 800 ini juga menawarkan kawalan yang lincah dan responsif yang disumbangkan oleh casis yang dinamik, suspensi Showa upside/down 41mm boleh laras di bahagian depan dan monoshock Showa dengan jarak gerak 150mm di belakang. Penunggang juga boleh menyelaraskan pra-beban (preload) menggunakan kawalan hidraulik yang tersedia.
Pakej brek pula terdiri dari brek kaliper radial 4-piston jenama Triumph yang dipadankan bersama cakera berkembar 310mm depan dan brek 1-piston dengan cakera 255mm dibelakang. Tiger Sport 800 ini juga dipadankan dengan tayar Michelin Road 5 secara standard.

Ketinggian tempat duduk diletakkan pada 835mm dengan saiz pelana yang lebar sekaligus sesuai untuk ketinggian penunggang yang pelbagai saiz. Triumph juga menyediakan penghadang angin boleh laras sekaligus memastikan tunggangan jarak jauh lebih selesa. Kapasiti tangki pula adalah 18.6L.
Elektronik

Tiger Sport 800 ini hadir dengan pakej elektronik yang serba lengkap bermula dengan tiga mod menunggang; Sport, Road dan Rain dan mudah diakses dengan butang khas. Berbanding mod ‘Road’ (standard), mod ‘Power’ pula menawarkan respon kuasa yang lebih agresif sementara mod ‘Rain’ pula lebih terkawal bagi memudahkan kawalan ketika waktu hujan.
Fungsi lain turut ditawarkan termasuk Cornering ABS, serta traction control yang dikawal selia 6-axis IMU. Bagi memastikan tunggangan jarak jauh lebih selesa, motosikal ini dilengkapi dengan cruise control secara standard.

Segala ciri diatas boleh dikawal menerusi paparan meter digital LCD dengan skrin TFT kecil sama seperti yang terdapat pada Tiger Sport 660.
Berikut dimensi Tiger Sport 800:
- panjang – 2073mm
- lebar – 828mm
- tinggi – 1386mm *dengan penghadang angin di kedudukan tertinggi
- ketinggian tempat duduk – 835mm
- jarak antara tayar – 142mm
- berat basah – 214kg
GALERI: TRIUMPH TIGER SPORT 800 2025




























