AVETA RANGER CUB CROSS PILIHAN MAMPU MILIK KAKI ‘OFF-ROAD’
Meskipun masih baharu di Malaysia namun AVETA bingkas mencuri perhatian peminat dua roda terutamanya menerusi model popular, Ranger Max Explorer 130.
AVETA Ranger Max Explorer 130 merupakan motosikal kembara yang berkemampuan untuk ditunggang bukan sahaja di jalan raya malah ‘off-road’.
Menyedari terdapat permintaan besar terhadap segmen motosikal lasak dengan keupayaan ‘off-road’, AVETA memperluas tawaran kali ini menerusi model lebih mampu milik, Ranger Cub Cross 115.
Untuk pasaran Malaysia ada dua varian ditawarkan; Standard dan SE dan perbezaan utama antara kedua-dua model ini adalah penggunaan rim dan grafik di panel badan. Ini kerana varian SE menawarkan grafik camo berwarna serta didatangkan dengan rim jenis lidi (spoke) yang dipadankan dengan tayar ‘knobby’.
Sementara itu, varian Standard pula hadir dengan rim aluminium yang dipadankan dengan tayar konvensional untuk jalan raya. Meskipun begitu, kedua-dua varian ini didatangkan dengan rim berukuran 17-inci yang sama.
Kedua-duanya masih lagi menawarkan keupayaan yang sama namun varian SE lebih sesuai untuk tunggangan lasak hasil penggunaan tayar dan rim yang berbeza.
Namun begitu, Ranger Cub Cross Standard dan SE dikuasakan enjin yang sama, satu silinder 113cc empat strok dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menjana 8.7hp pada 8,000rpm dan 9Nm pada 5,500rpm. Penggunaan karburator pula memastikan Ranger Cub Cross mudah untuk diservis dan dibaik pulih di samping memastikan kos penjagaan berada di tahap minimum.
Selain hadir dengan harga mampu milik, Ranger Cub Cross juga mudah dikendalikan ekoran hanya 86kg sahaja sementara ketinggian tempat duduk hanya 750mm memastikan motosikal ini mudah diakses individu pelbagai saiz.
Kami pula merasakan kelengkapan seperti handguard dan mudguard belakang adalah satu bonus dan bertindak melindungi penunggang dari batu, pasir dan lumpur ketika menunggang off-road.
Untuk siapa sebenarnya Ranger Cub Cross ini? Selain peminat motosikal cub yang mahukan kelainan, model ini juga adalah permulaan pertama untuk mereka yang nak jinakkan diri dengan aktiviti ‘off-road’.
GALERI: AVETA RANGER CUB CROSS 115