Buletin

TEKNOLOGI ‘GOD’S EYE’ ADAS: STANDARD BAHARU UNTUK SEMUA MODEL BYD

BYD, pengeluar kenderaan elektrik terkemuka dari China, telah mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan teknologi pemanduan sendiri canggih pada semua model kenderaan mereka, termasuk model paling mampu milik, tanpa sebarang kos tambahan.

Langkah ini bertujuan untuk menjadikan teknologi pemanduan pintar lebih mudah diakses oleh orang ramai.

Sistem bantuan pemandu maju (ADAS) yang dikenali sebagai “God’s Eye” akan dipasang pada 21 model BYD, termasuk model Seagull yang berharga serendah AS$9,555 (RM42,311).

Sistem ini menawarkan ciri seperti parkir automatik dan penjagaan lorong, dengan versi asas membolehkan pemanduan autonomi di lebuh raya di bawah pengawasan pemandu.

Versi lebih canggih akan dipasang pada model BYD yang lebih mahal serta jenama premium mereka, Denza dan Yangwang.

Menurutnya, versi ini membolehkan pemanduan autonomi di kawasan bandar yang lebih kompleks, namun masih memerlukan pengawasan manusia.

Langkah BYD ini dijangka meningkatkan persaingan dalam pasaran kenderaan elektrik, terutama terhadap pesaing seperti Tesla, yang menawarkan ciri pemanduan sendiri pada harga lebih tinggi.

Penganalisis percaya bahawa inisiatif ini dapat memacu perang harga baharu dalam pasaran yang sudah sangat kompetitif.

Dengan menawarkan teknologi pemanduan sendiri pada harga yang lebih rendah, BYD berhasrat untuk menjadikan teknologi ini sebagai standard dalam industri, setaraf dengan tali pinggang keledar dan beg udara dari segi kepentingan keselamatan.

Langkah ini juga berpotensi memberi tekanan kepada pengeluar kenderaan lain untuk menurunkan harga atau meningkatkan tawaran teknologi mereka bagi kekal bersaing dalam pasaran kenderaan elektrik yang semakin berkembang.

Google ads
Back to top button