
MG S5 EV DIPERKENALKAN – JANA 170PS, JARAK GERAK HINGGA 430KM, ANGGARAN HARGA BERMULA RM115K
MG Motor Malaysia secara rasmi memperkenalkan model elektrik terbaharunya, MG S5 EV untuk pasaran tempatan.
Model segmen-B elektrik ini ditawarkan pada harga anggaran sekitar bermula RM115,000 menjadikannya antara pilihan yang kompetitif dalam pasaran EV tempatan.
SUV elektrik ini menawarkan keseimbangan antara prestasi, keselesaan dan kebolehgunaan harian, menjadikannya ideal untuk pengguna bandar mahupun luar bandar.
Ia dipacu oleh motor elektrik pacuan roda belakang, menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan dan responsif – satu ciri yang jarang ditawarkan dalam kelasnya.

Dua konfigurasi bateri ditawarkan: satu dengan kapasiti 49kWh yang mampu mencapai jarak sehingga 340km (berdasarkan kitaran WLTP), digandingkan dengan motor 125kW yang menghasilkan 170PS dan 250Nm tork.
Pilihan kedua pula datang dengan pek bateri 62kWh yang lebih besar, membolehkan pemanduan sehingga 430km, serta menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150kW.
Sebagai tambahan kepada prestasi, MG S5 EV turut dilengkapi ciri moden seperti pengecasan AC 6.6kW, fungsi Vehicle-to-Load (V2L), serta sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto.

Di bahagian dalaman, ia dimuatkan kelengkapan seperti paparan kawalan pusat bersaiz 12.8-inci, sistem kawalan suara, dan kluster digital 10.25-inci.
Dari segi keselamatan, SUV ini hadir dengan tujuh beg udara serta rangkaian lengkap Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) untuk meningkatkan keselamatan di jalan raya.
Bagi pembeli yang memilih versi bateri lebih besar, mereka turut menikmati kelengkapan premium seperti:
- Rim aloi bersaiz 18-inci
- Bumbung matahari panoramic
- Pintu belakang berkuasa
- Tempat duduk kombinasi fabrik dan kulit berlubang
- Stereng berbalut kulit dengan pemanas
- Tempat duduk pemandu larasan kuasa
- Sistem audio 6-pembesar suara
- Kamera pandangan 360 darjah
MG S5 EV akan ditawarkan dalam lima pilihan warna menarik – Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red dan Elegant Latte – digandingkan dengan kabin berwarna gelap bertekstur kulit serta fabrik.
GALERI:





