Buletin

TERBALIKKAN MYVI LANGGAR RIDER FOOD PANDA, 3 LELAKI DITAHAN POLIS

Polis telah menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam insiden menterbalikkan sebuah Perodua Myvi yang dilaporkan berlaku di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kesemua suspek ditahan dalam beberapa operasi yang dijalankan di Jalan Bunga Raya, Masai dan Jalan Tembikai, Taman Kota Masai bermula pukul 10.45 pagi, hari ini. Mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 24 tahun.

“Polis maklum sebuah video tular berdurasi 38 saat yang menunjukkan berlakunya kekecohan di sebuah stesen minyak di Taman Kota Masai berpunca daripada kemalangan antara sebuah kereta dan seorang penghantar makanan.

“Dalam kejadian berkenaan, pemandu kereta dan penunggang motosikal masing-masing berusia 21 tahun mengalami kecederaan, namun berada dalam keadaan stabil.

Sebelum ini, tular satu klip video yang menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal mengerumuni sebuah Myvi dan memecahkan tingkap kereta tersebut. Tindakan mereka semakin tidak terkawal dengan ada yang mendakwa individu terlibat turut mencuri barang-barang sebelum kereta itu diterbalikkan. 

Insiden tersebut dipercayai bermula selepas pemandu berkenaan melanggar seorang rider Food Panda. Mereka berdua didakwa melanggar lampu isyarat berhampiran simpang Petronas Jalan Kota Masai.

“Buat waktu ini, polis masih menyiasat apakah punca orang ramai bertindak merusuh dan menterbalikkan kereta yang dipandu mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd. Sohaimi, ketiga-tiga suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Buat waktu ini, polis masih menjalankan operasi untuk menahan beberapa lagi suspek yang terlibat dengan kejadian rusuhan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button