
PESAWAT PEJUANG CHECKMATE DARI RUSIA. GABUNG KELAJUAN SUPERSONIK DAN TEKNOLOGI ELAK DIKESAN RADAR
Rusia dilapor akan memperkenalkan pesawat pejuang stealth terbaharunya yang dikenali sebagai Checkmate tidak lama lagi.
Pesawat pejuang itu menjadi kelengkapan terkini dalam usaha Rusia memperkuatkan sistem pertahanannya. Ia merupakan antara kelengkapan ketenteraan yang paling ditunggu-tunggu pada tahun ini. Kompleks ketenteraan gergasi Rusia, Rostec mengumumkan bahawa pesawat itu bakal didedahkan pada acara International Aviation and Space Salon MAKS-2021 di Zhukovsky, dekat Moscow.
Nama Checkmate dipilih bagi menunjukkan keupayaan rakyatnya dalam permainan catur dan kemenangan dalam peperangan. Dibina oleh pembuat pesawat terkemuka Sukhoi, pesawat pejuang generasi seterusnya itu disifatkan oleh Rostec sebagai sesuatu yang baru.
Rostec dan United Aircraft Corporation (UAC) baru-baru ini melancarkan video teaser Checkmate yang penuh dengan kejutan. Apa yang pasti, Checkmate disasarkan kepada pasaran antarabangsa. Sedia maklum bahawa Rusia sudah lama menjadi pembekal kelengkapan perang kepada negara-negara di Asia Barat, India dan Asia.
Tiada maklumat lanjut mengenai keupayaan Checkmate yang dikongsi. Menurut media Rusia, pesawat itu menggabungkan kelajuan supersonik dengan sukar dikesan oleh radar.
Sama ada kebetulan atau tidak, Amerika Syarikat kini sedang sibuk membangunkan pesawat pejuang stealth B-21 Bomber.