
TESLA DEDAH HARGA RASMI MODEL Y PASARAN TEMPATAN – 3 VARIAN, HARGA BERMULA RM199K
Tesla Malaysia hari ini mendedahkan harga rasmi untuk Tesla Model Y bagi pasaran tempatan sebelum pelancarannya pada minggu hadapan.
Didatangkan dalam tiga varian, tempahan kini boleh dibuat dengan yuran tempahan sebanyak RM1,000.
Model Tesla pasaran tempatan adalah diimport sepenuhnya dan pada masa ini Tesla menikmati insentif EV seperti pengecualian duti import dan eksais serta cukai jalan percuma sehingga akhir 2025.
Para pembeli juga bakal menikmati pelepasan duti import dan eksais bagi kenderaan elektrik sifar emisi, pemansuhan cukai jalan 100 peratus serta pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500.

Perincian harga Tesla Model Y adalah seperti berikut:
- Tesla Model Y RWD – RM199,000
- Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000
- Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000
Sementara, sekiranya anda mahukan teknologi pilihan tambahan, berikut adalah harga di Malaysia:
- Enhanced Auto Pilot – RM16,000
- Full Self-Driving Capability – RM32,000

Dari segi spesifikasi, Model Y RWD dipacu oleh motor elektrik tunggal, menghasilkan 347hp, 420Nm tork serta dilengkapi bateri 57.5kWj dan menawarkan jarak gerak 430km. Kelajuan maksimum pula dihadkan 217km/j.
Bagi model Model Y Long Range AWD, ia digerakkan oleh motor elektrik berkembar, menghamburkan kuasa 514hp, 493Nm tork, manakala jarak gerak ditawarkan adalah 533km.
Tesla Model Y Performance AWD pula berupaya menjana kuasa 534hp dan 660Nm tork. Had kelajuan maksimum adalah lebih tinggi iaitu 250km/j tetapi jarak gerak ditawarkan hanya 514km, kurang 19km berbanding varian Long Range AWD.

Selain itu, terdapat pilihan naik taraf rim bersaiz 20-inci Induction dengan kos tambahan RM10,000 bagi dua varian Model Y terawal.
Untuk rekod, Tesla Model Y RWD dan AWD Long Range menggunakan rim Gemini 19 inci manakala versi AWD Performance diserlahkan rim Überturbine 21 inci.
Tesla Model Y mempunyai lima pilihan warna iaitu:
- Pearl White Multi-Coat
- Solid Black
- Midnight Silver Metallic
- Deep Blue Metallic
- Red Multi-Coat.
Untuk makluman, anda mungkin perlu menunggu sekurang-kurangnya 6 bulan untuk EV baharu anda kerana Tesla Malaysia telah menyenaraikan anggaran garis masa penghantaran awal 2024. – Paultan
- BACA: TESLA MODEL 3 KERETA ELEKTRIK TERPAKAI PALING LARIS DI AMERIKA SYARIKAT
- BACA: TESLA DILANCARKAN SECARA RASMI 20 JULAI INI – BAWA MASUK MODEL Y DAN MODEL 3?
- BACA: PUSAT TESLA THAILAND BAKAL DIBUKA DI RAMKHAMHAENG JULAI INI
- BACA: ELON MUSK DAH LAMA RANCANG, PENGANALISIS YANG LALAI – TESLA TETAP UNTUNG!