Buletin

TESLA SAMAN ALMEDA COUNTY, CALIFORNIA. UGUT MAHU PINDAH HQ KE TEXAS ATAU NEVADA

Tesla Inc. dilapor telah menyaman pihak berkuasa California ketika pengeluar kereta elektrik itu cuba untuk membuka semula kilangnya di Fremont.

Kilang itu terpaksa ditutup selepas jabatan kesihatan Almeda County menyatakan langkah kuarantin yang sedang dilaksana untuk mengekang penularan wabak COVID-19 masih dikuatkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk turut mengugut untuk memindahkan ibu pejabat dan program masa depannya ke Texas atau Nevada.  

Dalam satu hantaran di blognya, Tesla menyatakan pendirian California membuatkannya tiada pilihan selain mengambil tindakan undang-undang supaya para pekerjanya boleh mula bekerja.  

Syarikat itu telah melaksanakan pelan kembali bekerja. Ia merangkumi latihan dalam talian, pengasingan zon kerja, pemeriksaan suhu dan arahan memakai pakaian perlindungan. Di samping menjalankan protokol pembersihan dan nyahkuman yang ketat.

Tesla mendakwa sudah memberitahu pihak berkuasa kesihatan Almeda County untuk memulakan operasi kilangnya. Tetapi pegawai terbabit tidak membalas emel mahupun panggilan.

Minggu lalu, jabatan kesihatan Almeda County memberitahu pihaknya berurusan secara langsung dengan pasukan Tesla.  

Saman difailkan di mahkamah persekutuan San Francisco pada Sabtu. Ia mendakwa larangan membuka kilang sebagai ‘permainan kuasa’ Almeda County. Sedangkan gabenor California pada Khamis menyatakan pengilang di negeri itu dibenarkan untuk beroperasi.

Jadi, Almeda County dilihat melanggar perlembagaan persekutuan dan California, selain mengingkari arahan gabenor. Alameda County dijadual menguatkuasakan arahan kuarantin sehingga akhir Mei dengan hanya beberapa perniagaan penting dibuka semula.

Ia juga tidak menyifatkan Tesla sebagai perniagaan penting.  – Reuters

Google ads
Back to top button