Buletin

JEPUN PERKETAT SYARAT PEMILIKAN ASING KE ATAS 518 FIRMA, BERI ALASAN KESELAMATAN NEGARA

Jepun baru-baru ini mengumumkan satu senarai yang akan dikenakan syarat pemilikan asing lebih ketat ke atas syarikat berkepentingan awam seperti Toyota Motor Corp dan Sony Corp.

Langkah itu diambil berikutan Amerika Syarikat dan Eropah mengambil pendekatan sama atas alasan menjaga keselamatan negara. 

Jepun telah mengenal pasti 518 daripada 3,800 firma yang mempunyai operasi berkaitan keselamatan negara. Ini menjadikan syarikat-syarikat tersebut tertakluk kepada garis panduan yang lebih ketat. 

Peraturan itu merangkumi pelaburan asing ke dalam beberapa sektor penting negara seperti minyak, kereta api, utiliti, senjata, angkasa, kuasa nuklear, penerbangan, telekom dan keselamatan siber. 

Senarai yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan itu berkuat-kuasa mulai Jumaat lepas. 

Pelabur asing yang membeli 1 peratus atau lebih firma Jepun di dalam 12 bidang kini perlu menjalani proses penelitian. Sebelum ini, ia hanya melibatkan pemilikan 10 peratus. 

“Undang-undang yang digubal ini bertujuan mempercepatkan pelaburan langsung asing ke Jepun,” kata Menteri Kewangan Taro Aso. 

Beberapa penganalisis berpendapat undang-undang yang telah digubal itu menunjukkan kebimbangan Jepun ke atas pengaruh China ke atas industri-industri seperti pertahanan. Wujud juga kebimbangan kebocoran maklumat dan teknologi penting. 

Namun, pengkritik beranggapan garis panduan baharu itu membuatkan pelabur luar kurang berminat ke atas bursa saham Jepun. Ia nyata bertentangan dengan usaha kerajaan untuk menarik minat pelabur, sekali gus merancakkan ekonomi. 

Pelabur asing mempunyai pengaruh besar terhadap harga saham kerana mereka memiliki kira-kira 30 peratus pasaran saham Jepun yang bernilai 575 trilion yen dan merangkumi sekitar 60 peratus pulangan dagangan. – Reuters  

Google ads
Back to top button