Artikel Pilihan

TIMING BELT VS TIMING CHAIN. MANA SATU LAGI RELEVAN?

Tajuk kali ini merupakan satu tajuk yang ada sejarah perdebatan yang lama biasanya antara peminat permotoran dan automotif di Malaysia. Ada yang bermati-matian menjadi penyokong, dan ada sampai kiamat mempertahankan pendapat mereka.

1. Fungsi

Artikel kali ini akan membincangkan mengapa kedua dua sistem tali sawat pemasaan ini dicipta, kelebihan setiap sistem dan mengapa kedua dua sistem ini sentiasa digunakan. Tali sawat pemasaan atau disebut timing belt dan timing chain merupakan satu mekanisme untuk mengawal pemasaan bukaan injap dengan menyambungkan aci enkol dengan aci sesondol. Bagi setiap kitaran, aci engkol akan berputar 2 kali dan aci sesondol akan berputar sekali.

2. Bahan Binaan

Bagi sistem timing belt, ia akan menyambungkan pulley (takal) antara aci engkol dan aci sesondol. Bagi timing chain, ia akan menyambungkan sprocket kedua-dua komponen. Itu sahaja fungsinya, cuma yang membezakan antara kedua sistem ialah bahan yang digunakan. Timing belt dihasilkan dari sebatian getah sintetik dan campuran lain manakala timing chain dihasilkan dari logam

Timing belt dihasilkan dengan dengan polyurethane dijadikan bahan asas binaan dan diperkukuhkan lagi dengan campuran kevlar/aramid/carbon fiber untuk mengukuhkan binaan struktur. Timing chain pula dihasilkan dengan kepingan logam disambungkan dengan pin, namun terdapat 2 jenis timing chain yang digunakan pada hari ini samada dari jenis roller chain ataupun silent chain

3. Rekaan

Kelebihan timing belt ialah rekaannya yang kompak serta semasa beroperasi ia tidak memerlukan sebarang pelinciran. Jadi rekaan enjin timing belt biasanya lebih kompak dan ringkas Namun musuh utama timing belt ialah suhu yang tinggi, pencemaran minyak enjin dan cecair penyejuk yang akan memendekkan jangka hayatnya.

Jika enjin anda mengalami kebocoran, adalah lebih baik menukar timing belt lebih awal. Enjin lama memerlukan timing belt ditukar dalam sela masa 60,000km -80,000km. Manakala enjin terbaru boleh ditukar dalam sela masa 100,000km-150,000km. Contohnya Toyota Hilux memerlukan sela masa 150,000km untuk penukaran timing belt.

Bagi sistem timing chain, ia memerlukan minyak enjin semasa beroperasi bagi memastikan geseran antara rantai dan sprocket dikurangkan. Kegagalan untuk menukar minyak enjin mengikut jadual akan menyebabkan sprocket dan rantai menjadi haus, dan pemasaan enjin tidak tepat.

Sistem timing chain dihasilkan samaada rollerchain yang lebih lasak, namun rekaannya menyebabkan bunyi bising dan inertia yang tinggi menjadikan enjin kurang responsif namun rollerchain kurang geseran. Kebanyakan enjin moden menggunakan silent chain yang lebih senyap dan lebih murah untuk dihasilkan.

Bagi kegunaan yang ekstrim, rollerchain berganda lebih sesuai digunakan kerana dalam apa jua keadaan rekaan berganda ini tidak akan putus. Namun rekaan ini ada parasitic loss yang tinggi dan lebih bising. Rollerchain juga amat sensitif dengan minyak enjin yang sudah tercemar.

4. Timing Chain dan minyak enjin

Seperti yang anda tahu, selain untuk melincirkan pergerakan piston minyak enjin dalam sistem timing chain juga bertanggungjawab melincirkan pergerakan timing chain. Minyak enjin akan memastikan sprocket dan rantai tahan lama namun pada masa yang sama jika minyak enjin sudah lama ia akan menjadi kotor dan merosakkan timing chain

Timing chain boleh menjadi haus dengan cepat disebabkan oleh:

1. Minyak enjin tidak ditukar mengikut sela masa yang ditetapkan

2. Menggunakan kelikatan minyak enjin yang berbeza daripada cadangan pengeluar

3. Menggunakan minyak enjin kualiti cap ayam

5. Sejarah Timing Belt

Sejak dari awal pengenalan enjin, hampir kesemua enjin automotif menggunakan rekaan pushroad iaitu injap dibuka dengan satu rod besi serta dibantu dengan timing chain. Timing belt pertama kali digunakan pada enjin perlumbaan Bill Devin pada tahun 1956. Disebabkan rekaan enjin Bill yang menggunakan rekaan boxer, penggunaan timing belt adalah lebih sesuai.

Kereta pertama yang menggunakan enjin timing belt ialah Glas 1004 yang menghasilkan enjin dengan rekaan (Over Head Cam) OHC. Enjin 3 silinder 998cc ini berjaya menghasilkan 40 kuasa kuda berjaya menarik minat untuk BMW membeli syarikat ini secara keseluruhan bagi hak paten OHC tersebut.

Pada tahun 1966 juga Fiat berjaya menghasilkan enjin DOHC yang dipadankan dengan teknologi timing belt, manakala Pontiac berjaya menghasilkan enjin 6 silinder dengan rekaan timing belt. Disebabkan ia memerlukan timing chain yang lebih panjang, kesannya ialah rantai dalam enjin ini akan bergegar, akhirnya akan haus lebih cepat berbanding biasa.

Untuk mengatasi masalah ini, timing belt diperkenalkan dan menjadi sangat popular disebabkan kelebihan utama iaitu murah untuk dihasilkan dan senyap. Namun seperti biasa, bagi mengurangkan kos pengeluar timing belt mengubah rekaan dan menjejaskan mutu timing belt. Terdapat beberapa kes timing belt putus dan akhirnya piston akan berlaga dengan injap.

6. Timing Chain Kembali

Disebabkan enambahbaikan dalam rekaan timing chain yang menjadikannya semakin ringan, teknologi heat treatment untuk menjadikannya lebih lasak, lebih senyap, lebih kurang geseran menjadikan timing chain kembali popular pada pengeluar kereta menjelang tahun 2000

Namun disebabkan permintaan yang terlampau dari pengguna, terdapat beberapa kes enjin timing chain boleh mengalami kegagalan seperti yang dialami oleh enjin BMW N47. Pengguna mahukan enjin yang berkuasa, jimat bahan api, kos penyelenggaraan yang murah, lebih senyap. Bagi menghasilkan enjin yang tahan lasak, timing chain telah digunakan

Tapi bagi mengurangkan geseran, single rollerchain telah dipilih berbanding dengan double rollerchain. Bagi mengurangkan kos penyelenggaraan, BMW mencadangkan sela masa servis adalah 25,000km. Pencemaran dalam minyak enjin adalah salah satu faktor yang menyebabkan timing chain dalam enjin N47 putus.

Jadi apa yang kami cuba sampaikan ialah kita tak boleh ambil sifir mudah, timing chain sampai kiamat tak rosak dan pakai timing belt kereta baru sebulan pakai dah putus. Setiap rekaan samaada timing chain atau timing belt telah direka dengan parameter yang telah ditetapkan oleh jurutera. Jangan beroperasi di luar parameter tersebut, maka timing chain dan timing belt tidak akan putus.

Tak payah nak bertegang leher cakap siapa lebih power. Kalau rekaan tersebut dibuat sambil lewa baru wajib luku kepala jurutera. Timing chain dan timing belt ada kelebihan dan kelemahan sendiri. Untuk menonton video berkenaan isu ini, anda boleh klik link INI

Google ads
Back to top button