Modifikasi

HONDA FIT B-SPEC CONCEPT DARI HPD UNTUK LITAR LUMBA

Honda Fit atau Jazz hadir sebagai sebuah kereta kompak urban dengan reka bentuk sederhana. Tidak terlalu lembut atau agresif dan walaupun begitu merupakan jentera yang biasa digunakan di litar lumba.

Sebagai contoh Honda Fit yang dibangunkan oleh Honda Performance Development (HPD) untuk perlumbaan SCCA Club Racing dan Canadian Touring Car B-SPEC.

HPD membangunkan model konsep Fit ini untuk digunakan pada perlumbaan tahun 2015 dan mempamerkannya pada SEMA 2014.  

Secara umumnya Fit ini nampak tidak banyak beza dengan versi jalanan memandangkan ia dibina untuk kategori permulaan atau B-SPEC.

Dalam erti kata lain, Fit ini menggunakan casis dan enjin standard, rangka keselamatan (roll cage) perlumbaan, kerusi lumba, komponen suspensi, tayar dan roda diluluskan pengeluar dan beberapa lagi peralatan keselamatan.

Walaupun standard terdapat beberapa ubah suai pada rangkaian kuasa yang menggunakan komponen HPD seperti penapis udara dan ekzos cat-back besi tahan karat.

Penyaman udara tidak digunakan dan diganti dengan HPD delete belt sesuai dengan kegunaannya sebagai kereta lumba.

Turut diubah suai ialah bahagian casis dan suspensi yang juga menggunakan komponen HPD seperti kit coil over dengan gegelung perlumbaan dan set talian brek braided besi tahan karat.

Tayar pula dari set perlumbaan BFG R1 dengan padanan roda TR Motorsports C1.

Bahagian luar tiada kit badan digunakan kecuali diserlahkan dengan balutan grafik dari One 11 Ink.

Bahagian dalam langsung berbeza dengan luaran yang standard. Pemandu dihidangkan kerusi lumba dan stereng dari Sparco dengan fungsi lepas cepat (quick release).

Untuk keselamatan pemandu, model konsep perlumbaan ini dilengkapi tali keledar perlumbaan dari Scroth dan rangka keselamatan enam sudut.

Penggunaan Honda Fit atau Jazz di litar lumba bukan sahaja di luar negara malah Honda Malaysia turut menggunakannya selain Honda City. 

Memandangkan Honda telah pun melancarkan Jazz baharu, kami tertanya mengenai legasi perlumbaannya. Jazz bukan sekadar kereta kompak urban, ia model serba guna yang bagus dari Honda.

BACA: HONDA FIT JDM DENGAN KIT HONDA ACCESS

BACA: BISIMOTO HONDA FIT TURBO 2015, KUASA ENJIN 480HP!

BACA: APA YANG BARU PADA HONDA CBR600RR 2020?

Kredit foto: Honda

Google ads
Back to top button