Artikel Pilihan

TIPS PENJAGAAN GEAR AUTOMATIK

Gear automatik atau singkatannya AT merupakan salah satu pilihan transmisi yang biasa ditawarkan di Malaysia. Ia ditawarkan dalam pilihan 4 ratio (kereta kompak atau ekonomi), 6 ratio (kereta jenama mahal), 8 ratio (premium eksekutif) dan juga 10 ratio (Lexus LC500). Semakin banyak ratio, semakin bagus kawalan yang ditawarkan dan semakin mahal.

Oleh kerana hampir 80% pembeli baru akan memilih transmisi automatik, maka artikel kali ini kita akan membincangkan teknik penggunaan dan penjagaan transmisi automatik agar ia tahan lebih lama.

1. Menggunakan gear neutral ketika menuruni bukit bukanlah kaedah yang baik untuk menjimatkan bahan api. Kami telah menerangkan dengan panjang lebar berkeaan isu ini di SINI. Ia akan menyebabkan kereta hilang kawalan dan bergantung sepenuhnya pada sistem brek untuk berhenti.

2. Sentiasa berhenti dulu untuk menukar arah perjalanan dari depan ke belakang dan dari belakang ke depan. Apabila anda menukar tombol gear dari D ke R atau R ke D, anda sebenarnya menggunakan sistem transmisi untuk membrek. Situasi ini meletakkan beban yang tinggi pada sistem gear.

3. Pastikan kereta betul betul berhenti sebelum menggunakan gear P untuk memarkir kereta. Apabila gear P digunakan, terdapat satu mekanisma pin pengunci yang akan mengunci kereta pada kedudukan tetap. Jika gear P dimasukkan semasa kereta sedang bergerak, kereta akan membrek dengan menggunakan sistem transmisi. Kalau pin pengunci tu patah, masak nak tukar.

4. Melainkan kereta anda menggunakan talaan khas yang dikeluarkan oleh kilang (Type R, Gazoo, M Series), memulakan perjalanan dengan kaedah menekan pedal minyak sehingga RPM naik tinggi dan menukar kepada D dengan agresif. Dalam transmisi automatik, terdapat komponen lain seperti sistem klac dan juga bands yang akan cepat haus dan rosak jika anda memecut dengan kaedah ini.

Jika klac dan bands ini haus, tiada lagi geseran yang akan dihasilkan dan kereta tidak akan bergerak. Kos alat ganti murah, namun operasi menurunkan transmisi bagi menukar alat ganti ini renyah. Jadi kos upah akan menjadi mahal.

5. Elakkan melalui kawasan banjir atau meredah banjir melainkan anda tahu berapa kedalaman maksima yang boleh dilalui oleh anda. Kereta anda bukan hovercraft ye. Apabila air memasuki sistem transmisi akan ia boleh mengganggu sistem elektronik, menyebabkan karat dan memberi kesan pada sistem klac.

6. Bagi kereta yang dilengkapi dengan sistem Eco Idle atau Start Stop, adalah lebih baik jika berhenti di dalam kesesakan jalan raya ataupun lampu isyarat biarkan sahaja tombol dalam D dan tekan brek. Sistem akan mengesan anda telah berhenti dan akan mematikan enjin bagi menjimatkan petrol. Menukar dari D kepada N boleh mengganggu keberkesanan sistem start stop ini.

Mazda CX30

7. Jika parkir di kawasan berbukit, sila guna brek tangan dahulu bagi mengurangkan beban pada pin pengunci. Baru tukar gear kepada P. Jika memulakan perjalanan, turunkan brek tangan, tekan pedal brek dab akhir sekali baru masukkan gear kepada D.

8. Jika transmisi auto datang dengan fungsi penukar gear di stering, boleh gunakan dengan ragu-ragu. Kebanyakan transmisi auto yang datang dengan fungsi ini ada mekanisma yang akan menghalang penukaran gear dibuat jika ia mengesan penukaran gear tidak sepatutnya dibuat.

9. Kalau tersangkut dalam lumpur, pilihan yang bijak ialah tunda saja kereta anda dengan kenderaan lain. Anda tidak mahu transmisi anda menjadi terlalu panas dan berlaku kerosakan pada komponen lain yang tidak perlu.

10. Ambil tahu bila sepatutnya anda menukar minyak gear atau ATF atau pada kilometer ke berapakah ia sepatutnya ditukar. Maklumat ini boleh disemak pada buku panduan yang diberikan bersama kereta semasa pembelian kereta. Jika anda membeli kereta baru, pusat servis akan menasihati anda waktu yang sesuai untuk menukar minyak gear

11. Pastikan anda menukar minyak gear dengan gred yang betul. Ada minyak gear dengan gred SP3 atau Dexron3. Jangan pula letak minyak CVTF dalam transmisi automatik. Jangan guna minyak masak walaupun orang lain kata boleh.

12. Sesetengah transmisi datang dengan sistem penapis terbina dalam. Tujuannya ialah untuk memerangkap habuk besi yang mungkin terhasil semasa transmisi beroperasi. Semak dengan pusat servis bila penapis ini perlu ditukar.

13. Cuba belajar kenal warna minyak gear automatik anda. Pastikan lantai di tempat anda parkir kereta bersih daripada sebarang warna. Kalau ada minyak gear yang menitik pada lantai, bawa kereta anda ke bengkel atau pusat servis untuk memeriksa punca kebocoran atau leaking. (Bukan licking)

14. Sesekali cuba semak kandungan minyak gear cukup atau pun tidak berdasarkan dipstick yang dipasang pada unit transmisi. Kalau tak cukup, lebih baik bawa ke bengkel atau pusat servis untuk pemeriksaan lanjut.

15. Bergantung pada tayar mana yang memacu kereta anda, pastikan anda menunda dengan tayar tersebut menggunakan lori penunda. Tapi lebih baik menggunakan trak penunda jenis flatbed.

Tags
Google ads
Back to top button