Artikel Pilihan

MEMANDU TURUN BUKIT. DALAM GEAR ATAUPUN NEUTRAL?

Katakanlah anda memandu menuruni bukit dan bercadang untuk menjimatkan bahan api. Manakah yang lebih jimat? Guna sahaja gear Neutral ataupun turun bukit dengan gear D atau 3 atau 4? Jadi kali ini kita akan kupas kaedah yang terbaik memandu ketika menuruni bukit. Sebab tahun depan harga bahan api dijangka naik. Jadi selamatkan setiap titik petrol dari tangki kereta anda.

Tanpa mengira jenis transmisi yang pembaca guna sekarang, mari kita kaji kesan memandu dalam keadaan Neutral dan dalam gear ketika menuruni bukit. Situasi pertama ialah anda memandu menuruni bukit dan meletakkan tombol gear pada D ataupun gear manual pada gear 5. Sebaik sahaja anda buat begitu, kereta akan bergerak menuruni bukit dan daya tarikan graviti akan bertindak pada kereta.

ECU akan mengesan halaju kereta berdasarkan sensor halaju pada tayar dan mendapati anda tidak menekan pedal minyak, ia tidak akan menghantar petrol atau disel pada unit suntikan bahan api untuk dipancitkan ke dalam enjin. Inertia dan graviti akan terus memastikan kereta turun ke bawah dan pada masa yang sama wujud geseran yang akan menentang pergerakan tersebut.

Disebabkan tayar bersambung dengan unit transmisi dan enjin, geseran akan wujud bagi menghentikan kereta dan pada masa yang sama akan memastikan enjin terus berputar pada RPM tertentu (bergantung pada gear mana yang anda guna). Tenaga yang dimiliki oleh objek pada kedudukan tinggi bergantung pada berat dan ketinggian. Tenaga ini akan menjalankan enjin dan juga komponen lain seperti penyaman udara ketika kereta bergerak turun.

Malah ia juga lebih selamat sebenarnya jika menuruni bukit dalam gear kerana pergerakan kereta dikawal oleh gear. Namun jika anda memandu menuruni bukit dalam keadaan Neutral, enjin tidak lagi akan bersambung dengan gear dan juga tayar. Jadi untuk terus berputar dalam keadaan melahu, ECU akan menghantar isyarat kepada enjin untuk membekalkan bahan api kepada enjin bagi memastikan komponen lain seperti stering, sistem brek dan juga penyaman udara terus beroperasi.

Ya walaupun hanya sikit saja petrol yang diperlukan untuk enjin terus beroperasi pada keadaan melahu, ia akan tetap menggunakan petrol. Disebabkan enjin dan transmisi tidak lagi bersambung, maka geseran yang wujud hanyalah geseran tayar (rollong resistance atau geseran golek) yang menentang pergerakan kereta ketika menuruni bukit. Jadi disebabkan kurangnya geseran, maka kereta akan bergerak dengan lebih laju.

Namun pada masa yang sama pergerakannya adalah kurang selamat kerana tiada gear yang disambungkan pada enjin. Rasa seperti menaiki roller coaster yang menuruni bukit. Salah satu risiko yang dihadapi ialah kemungkinan enjin mungkin mati secara tiba-tiba dalam keadaan neutral. Sistem brek dan sistem stering tidak lagi mendapat kuasa untuk beroperasi menjadikan pemanduan tidak selamat. Malah jika brek ditekan, kuasa menghentikan kereta bergantung sepenuhnya pada sistem brek yang mewujudkan geseran berbanding dalam keadaan gear.

Jadi untuk mendapatkan penjimatan bahan api yang maksimum, kami cadangkan anda menuruni bukit dalam gear dan bukannya Neutral. Ia leboh jimat dan juga lebih selamat berbanding dalam keadaan neutral.

Tags
Google ads
Back to top button