Buletin

SUV URUS LONJAK JUALAN LAMBORGHINI, TERBAIK DALAM SEJARAH!

Automobili Lamborghini S.p.A. sekarang ini sedang menuai hasil yang baik. Bertahun-tahun Lamborghini membina jenama ke peringkat lebih tinggi, dari Murcielago sehingga SUV Urus.

Lamborghini sekarang ini berada di kemuncak tinggi selepas jualan 2019 mencatatkan prestasi luar biasa dengan peningkatan 43 peratus berbanding 2018.

Angka jualan yang berjaya dicapai ialah 8,205 unit berbanding 5,750 pada 2018. Pengeluar dari Itali itu juga berjaya mencatatkan pertumbuhan jualan untuk sembilan tahun berturut-turut.

Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Automobili Lamborghini, Stefano Domenicali, 2019 adalah tahun paling berjaya dalam sejarah syarikat.

Tambah beliau lagi, dalam tempoh dua tahun sahaja prestasi meningkat dua kali ganda dengan jualan Urus pada 2019 hampir mencecah 5,000 unit iaitu angka yang hampir sama dengan jualan keseluruhan Lamborghini pada 2018.

Lamborghini mempunyai 165 pengedar untuk 51 buah negara dengan tiga benua utama mencatatkan peningkatan.

Jualan di Eropah meningkat 28 peratus kepada 3,206 unit, Amerika meningkat 45 peratus kepada 2,837 unit manakala Asia Pasifik meningkat 66 peratus kepada 2,162 unit.

Amerika Syarikat adalah pasaran tunggal terbesar dengan jualan 2,374 unit diikuti oleh China, Hong Kong dan Macau sebanyak 770 unit. United Kingdom mencatat jualan 658 unit, Jepun 641 unit, Jerman 562 unit, Timur Tengah 387 unit, Kanada 376 unit dan Itali 370 unit.

Dari segi model, Aventador V12 memperolehi jualan sebanyak 1,104 unit, Lamborghini Huracán V10 atau Huracán EVO lebih tinggi dengan jualan sebanyak 2,139 unit.

Mazda CX30

Selepas lima tahun di pasaran, sebanyak 14,022 unit Huracán dikeluarkan di mana prestasi itu jauh meninggalkan Gallardo yang mencatat angka jualan sama dalam tempoh sepuluh tahun.

Juara dalam jualan semestinya Super SUV Urus. Dalam tahun penuh pertama, jualan Urus meningkat 182 peratus daripada 1,761 unit pada 2018 kepada 4,962 unit pada 2019!

Keputusan yang tepat bagi Lamborghini dalam membangunkan SUV.

Tags
Google ads
Back to top button