
TOKYO AUTO SALON KL 2025 HIMPUN 100,000 PEMINAT, MERIAH DENGAN LAGENDA & JENTERA ‘RARE’
Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2025 menutup tirai dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung di MITEC dari 8 hingga 10 Ogos, menandakan satu lagi kejayaan besar dunia automotif tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies, Jason Yap, yang merupakan pemegang lesen rasmi Tokyo Auto Salon di Malaysia, berkata kejayaan acara ini tidak hanya diukur melalui angka kehadiran, tetapi juga kepuasan dan kenangan dibawa pulang oleh para pengunjung.

“Tahun ini kita sekali lagi menerima sokongan padu daripada tuner ikonik Jepun yang sanggup membawa masuk karya binaan terkenal mereka serta pelbagai barangan eksklusif buat peminat di Malaysia.
“Harapan saya, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur akan terus berkembang menjadi platform B2C dan B2B yang menghubungkan penggiat industri tempatan dengan rakan antarabangsa,” katanya.
Acara edisi ketiga di luar Jepun ini menampilkan barisan tuner legenda seperti Hiroshi Tamura, Wataru Kato, Smokey Nagata, Ken Amemiya dan Max Orido, bersama jentera ikonik termasuk Ferrari F40 Liberty Walk, Nissan GT-R VR32 Stealth 1,072hp Top Secret dan Lexus LFA edisi terhad.

Selain pameran kereta modifikasi bertaraf dunia, pengunjung turut menikmati zon baharu Mini TAS, segmen “Malaysia’s Finest Tuners”, pertandingan auto styling, perhimpunan kelab kereta, zon tematik Sakura Street & Midnight Tokyo, perlumbaan simulasi, persembahan seni langsung dan cabutan bertuah motosikal.
Penganjur berjanji edisi 2026 bakal lebih besar dan sarat dengan tarikan baharu.

