Buletin

MUGEN BERI NYAWA BAHARU PADA HONDA N-ONE e: MINI EV BERGAYA “POCKET ROCKET”

Honda N-One e:, kereta kei elektrik kompak yang bakal dilancarkan di Jepun dan Eropah, kini menerima suntikan gaya baharu daripada Mugen.

Model yang sememangnya terkenal dengan rekaan comel dan sedikit nakal ini kini tampil lebih garang dengan pakej aksesori khusus.

Naik taraf luaran merangkumi pemasangan splitter hadapan, skirt sisi, dan diffuser belakang kompak dengan kemasan hitam matte. Spoiler sepadan serta rim aloi 15-inci melengkapkan transformasi, memberikan postur seakan “hot hatch” bersaiz mini.

Mugen turut menawarkan set pelekat khas dengan nama jenama tersebut untuk bampar hadapan, gril, panel sisi, dan bampar belakang. Lencana tambahan di fender hadapan memastikan pengaruh talaan Mugen jelas kelihatan.

Bahagian dalam tidak ketinggalan menerima sentuhan eksklusif seperti pelapik pintu berjenama, bekas simpanan pintu, alas kaki khusus, serta penutup lantai but.

Aksesori praktikal seperti visor tingkap dan salutan cermin sisi hidrofobik turut disediakan bagi meningkatkan penglihatan ketika hujan.

Dari segi mekanikal, motor elektrik asal masih dikekalkan dengan output 63hp, selaras peraturan kei car Jepun. Namun, penggunaan penyerap hentak prestasi dan rim lebih besar dijangka memberi tindak balas pemanduan yang lebih mantap.

Jarak perjalanan dianggarkan melebihi 245km untuk setiap cas penuh, cukup untuk pemanduan santai mahupun menyusuri jalan berliku di Jepun.

Pakej aksesori Mugen ini akan mula ditawarkan di pasaran Jepun pada musim luruh 2025, dengan harga diumumkan lebih dekat dengan tarikh pelancaran.

N-One e: versi Eropah pula dijangka membuat penampilan sulung di Pameran IAA Munich September ini, dan masih menjadi tanda tanya sama ada komponen talaan Mugen akan turut dibawa ke pasaran benua tersebut.

Google ads
Back to top button