Artikel Pilihan

KENAPA UMWT SUSAH PAYAH BINA LITAR JALANAN UNTUK TOYOTA VIOS CHALLENGE?

Jaraknya pendek, cuma 1.65 km. Itulah jarak litar sementara yang dibuat di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi musim ketiga, Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge, satu-satunya perlumbaan jalanan sah yang boleh anda saksikan di Malaysia.

Meskipun nampak mudah, UMW Toyota Motor Sdn Bhd memerlukan hampir sebulan untuk menyiapkan litar sementara ini. Bila perlumbaan habis, lebih dua minggu lagi diperlukan untuk membongkar semua perkakasan perlumbaan ini sebelum kawasan tersebut dibuka kepada umum.

Nampak macam biasa saja kan? Letak barrier, pagar dan siap.

Sebenarnya, trek ini telah direka khusus untuk menampung impak 200km/j. Setiap blok halangan sisi ini seberat empat tan, tiga kaki lebar dan lapan kaki tinggi dan diikat antara satu sama lain.

Ia memerlukan lebih 800 blok untuk menyiapkan litar tersebut dan lebih 70 treler diperlukan untuk mengangkut blok-blok tersebut dari KL ke Terengganu.

Litar sementara ini juga direka mengikut standard keselamatan FIA (the Fédération Internationale de l’Automobile) yang mana litar tersbeut akan diperiksa, diuji dan ditauliahkan sebelum perlumbaan sebenar bermula.

BUKAN MUDAH

Mengambilkira usaha yang melibatkan masa, perbelanjaan dan kos menganjurkan perlumbaan begini, kenapa tak buat Toyota Gazoo Racing Festival and Toyota Vios Challenge dalam trek sedia ada saja?

Dua musim perlumbaan dan 16 pusingan sebelum ini berjaya menarik penyertaan hampir 100 selebriti, pemandu amatur dan professional dan lebih 200,000 pengunjung serta 1.1 juta penonton dalam talian.

Pusingan yang dilangsungkan di Lembah Klang, Kuala Terengganu, Johor dan Penang itu semuanya melibatkan litar buatan, kecuali pusingan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Musim ketiga tahu ini juga akan melibatkan tiga litar jalanan dan satu di SIC untuk pusingan keempat yang merupakan pusingan akhir.

MEMBANGUNKAN SUKAN MOTOR TEMPATAN

Aktiviti Toyota Gazoo Racing Festival dan perlumbaan Toyota Vios Challenge menurut Ravindran bukan sahaja memberi impak jenama pada tahap global dan domestic tetapi turut membantu pembangunan sukan motor Malaysia secara keseluruhan.

Konsep perlumbaan one-make series contohnya menghadkan modifikasi terhadap kenderaan dan menjadikan ia lebih mudah disertai pelumba tempatan samada amatur atau professional. Dalam masa yang sama menjadikan perlumbaan lebih kompetitif di mana kemahiran pelumba menjadi percaturan.

“Kemampuan perbelanjaan menjadikan sukan motor ini lebih dekat dengan orang biasa. Tapi usaha ini bukan sekadar ke trek perlumbaan, ia juga mencakupi generasi muda dengan platform berbeza, contohnya E-Sport”

“Perlu ada kesinambungan dalam sukan motor dan E-Sports adalah satu platform yang melibatkan berjuta-juta anak muda di seluruh dunia, terutamanya kanak-kanak, yang mungkin akan terlibat dalam perlumbaan sebenar satu hari nanti.

“Apa yang diharapkan Toyota Racing Gazoo adalah untuk menyemai semangat dan minat yang tinggi untuk sukan motor”

“Kemampuan kewangan merupakan faktor utama yang telah menjadikan Toyota Vios Challenge platform ideal untuk pemandu muda, di mana musim lalu menyaksikan Hayden Haikal yang berusia 14 tahun berjaya membuat peralihan dari karting ke perlumbaan kereta saloon. Hayden akan kembali ke Musim ke tiga ini dan kali ini juga pendatang baru, 17 tahun Bradley Benedict Anthony turut menyertai.

“Sudah tentu faktor perbelanjaan yang munasabah menarik minat Hayden untuk menyertai Toyota Vios Challenge. Dalam masa yang sama program Toyota Gazoo Racing Festival Racing School merupakan peluang bagi Hayden untuk mendapatkan tunjuk ajar berguna dari mereka yang terlatih,” ujar bapa Hayden, Haikal Zubir.

“Sebagai siri perlumbaan satu pengeluar, Toyota Vios Challenge menjanjikan peluang pembelajaran kepada Haikal. Kerana perlumbaan dibuat dalam trek jalanan, ia membantu Hayden membina keyakinannya dan mengelakkan beliau membuat kesilapan.”

Sementara itu, Naib Presiden Toyota, Akio Takeyama menjelaskan bahawa siri perlumbaan ini penting untuk mempromosikan aktiviti Gazoo Racing.

Toyota telah bersaing dalam sukan bermotor global sejak tahun 1957, namun pada tahun 2015, syarikat itu mengambil langkah untuk menyatukan semua aktiviti perlumbaan motornya di bawah Gazoo Racing.

Menerusi sayap baru ini mereka banyak memenangi perlumbaan berprestij di dunia termasuk Perlumbaan 24 Jam dari Le Mans, , The World Sports Car Endurance Championship, Rali Dakar dan Kejohanan Rali Dunia.

“Agar Toyota berkembang menjadi jenama prestasi, ia memerlukan kredibiliti dan warisan sukan motor yang kuat dan inilah yang membawa Toyota ke barisan hadapan dengan penjenamaan Gazoo Racing.

“Gazoo Racing akhirnya akan dikenali menerusi kenderaan khas yang akan memakai lencana ‘GR’,” kata Takeyama yang juga Ketua Pegawai Sukan Motorsport UMW Toyota Motor.

Gazoo’ itu sendiri berasal dari perkataan Jepun, ‘gazo’, yang bermaksud ‘gambar’ atau ‘imej’ dan pada awalnya, para jurutera Toyota mempunyai imej garaj yang dipenuhi dengan kereta unik – inisiatif yang sedang dijalankan menerusi pelancaran GR Supra, model pertama yang memakai lencana GR.

Musim ketiga Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge akan membuka tirainya minggu hadapan 6-7 September di Terengganu. Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sekali lagi akan menjadi saksi kehebatan pelumba pelbagai kelas dan bukan itu sahaja, karnival dua hari ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk semua peringkat umur.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button