,
Buletin

KURANG SEBULAN, PROTON SAGA CATAT TEMPAHAN LEBIH 10,000 UNIT!

PROTON melaporkan bahawa tempahan yang diterima untuk Saga 2019 yang dilancarkan pada 6 Ogos lalu kini telah melebihi 10,000 unit.

Lebih 1,000 daripada tempahan tersebut adalah melalui platform dalam talian, di mana pelanggan boleh menempah model tersebut hanya dengan RM9.99.

Berikutan penerimaan luar biasa itu, PROTON akan melanjutkan tempoh tempahan dalam talian sehingga 17 September.

Dalam perkembangan berkaitan, PROTON dilihat meneruskan momentum kenaikan jualan bagi tahun 2019 selepas mencatatkan jualan kereta sebanyak 9,127 unit pada bulan Ogos 2019.

Jumlah tersebut mewakili 17.6% daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) untuk bulan Ogos, menjadikan keseluruhan pegangan pasaran PROTON untuk tahun ini sebanyak 15.3 peratus.

Dari tahun ke tahun, pertumbuhan jualan kini berada pada kadar 36 peratus, meskipun TIV telah menurun sebanyak 5.8 peratus berbanding tahun 2018.

PROTON satu-satunya antara lima jenama yang mencatatkan jumlah pertumbuhan dua digit.

Dengan mencatat kadar pertumbuhan terbaik berbanding lima jenama automotif di Malaysia, PROTON kini berada di landasan yang betul untuk mengatasi keseluruhan jualannya pada 2018 iaitu sebanyak 64,744 unit.

Jumlah jualan pada akhir Ogos adalah sebanyak 61,396 unit. PROTON menjangkakan momentum pertumbuhan jualan akan kekal sehingga hujung tahun, sekali gus dapat mengatasi jumlah jualan tahun 2018 menjelang akhir September.

“PROTON berjaya mencatat pertumbuhan jualan terbaik berbanding lima jenama lain pada tahun ini. Walaupun TIV Malaysia telah menurun sebanyak 5.8 peratus, pertumbuhan jualan sebanyak 36 peratus menunjukkan kami kini berada di landasan yang betul.

“Melalui inisiatif seperti pembukaan lebih banyak cawangan 3S/4S serta penambahbaikan khidmat pelanggan dan kualiti produk yang ditetapkan pada tahun ini, kami yakin akan dapat mengakhiri 2019 dengan kedudukan yang kukuh,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button