Modifikasi

TOYOTA COROLLA AE91G WAK-WAGON

Sebut pasal wagon, fikiran kita pasti akan bayangkan sebuah kereta orientasi keluarga yang kurang bermaya. Bukan kata takde yang buat untuk tujuan prestasi. Cuma apa yang ditawarkan untuk pasaran sebelah sini, lebih menjurus kepada model-model asas akibat permintaan semasa yang kecil dan lemah.

Hal ini tidak menghalang peminat wagon seperti Wak untuk mencipta sesuatu yang menarik. Rangkaian wagon lama misalnya, masih berpotensi untuk digayakan dengan cara tersendiri. Ada saja helah yang difikirkan bagi memberi sinar kepada model-model ini. Komponen gantian pun banyak lagi. Janji pandai cari untuk dipadankan dengan apa yang dimiliki.

Di tangan Wak, Corolla AE91G ini telah dimudakan semula menerusi siri naik taraf yang sesuai. Untuk luaran, ia telah dipadankan dengan beberapa komponen yang berjaya mengubah rupanya berbanding wagon kebanyakan. Antaranya penggunaan kit badan AE91 G-Touring, tambahan lip depan AE92 GT, lampu depan AE92 Pinoy, gril AE92 Sprinter, serta hood jenis fiber berwana cerah.

Selari dengan perubahan ini, Wak telah memadankan rim Kids Racing berukuran 15-inci dengan set tayar Yokohama Advan Neova AD08R dari saiz 195/50R-15. Kuasa hentian pula disalin sepenuhnya dari hafkat AE111, sebelum digandingkan bersama pad brek dari Endless.

Sistem gantungan juga telah dinaik taraf menggunakan set suspensi boleh laras dari Cusco Zero 2. Bukan saja depan, tapi juga di ruang belakang memandangkan kereta ini tidak menggunakan axle solid seperti kebanyakan wagon lain. Sebagai tambahan, sepasang bar anti-roll TRD turut ditempatkan pada bahagian ini bagi mengurangkan masalah olengan.

Aspek janaan kuasa juga tidak dilupakan. Nadi asal yang makin kurang efisyen, perlu digantikan dengan sesuatu yang lebih segar. Terdapat beberapa pilihan yang boleh dibuat dan untuk kereta ini, Wak memilih enjin 4A-GE Blacktop yang diyakini mampu menghasilkan kuasa yang setimpal.

Ketika diperkenalkan, Blacktop diakui antara enjin yang mendahului zaman. Selain dilengkapi sistem pendikit 4-throttle, 20 injap dan sistem pemasaan VVT, ia turut memiliki beberapa perubahan yang agak menarik. Antaranya, peningkatan nisbah mampatan kepada 11:1, pendikit throttle sebesar 47mm, penggunaan sensor jenis MAP, manifold ekzos dan camshaft rekaan baru, saiz plenum yang lebih besar, termasuk conrod dan flywheel lebih ringan. Hasilnya, ia mampu mengerah sehingga 165hp dalam keadaan standard.

Memandangkan kuasanya sudah memadai, hanya sedikit sentuhan prestasi yang Wak berikan. Bekalan udara melalui ram udara ARC yang bersambung dengan kotak udara asal. Sistem penyampaian bahan api pula dibantu pam petrol Walbro, termasuk tambahan unit regulator Sard. Untuk talaan kuasa lebih responsif, perjalanan enjin kini diatur semula oleh unit piggyback GReddy e-Manage Ultimate.

Keselesaan ruang dalaman menggunakan komponen milik AE92 GT, yang datang dengan kemasan berwarna gelap. Paling menarik bentangan meter panjang, yang menghuni bahagian papan pemuka. Kemudian ada stereng RR, tombol gear Tom’s, rangkaian gajet Ultra untuk pemasa enjin, kedudukan gear dan had kelajuan, tirai dan jaring OEM belakang, serta sistem audio lengkap dari Carrozzeria.

Penerimaannya mungkin kurang berbanding sedan kebanyakan. Namun setiap kali bertandang ke majlis jemputan, kelibat kereta ini pasti mudah menarik perhatian, khususnya di kalangan mereka yang tahu menghargai.

KREDIT: KAKIKERETA.COM

GALERI

Google ads
Back to top button