Buletin

TOYOTA GAZOO RACING FESTIVAL CATAT LEBIH 10 RIBU PENGUNJUNG, SEDIA TAMBAH BAIK FORMAT

Toyota Gazoo Racing Festival musim keenam melabuhkan tirai dengan gemilang apabila berjaya mencatat lebih 10,000 pengunjung dan sejumlah empat juta penonton atas talian.

Meraikan peminat, pasukan serta pelumba, ia sekali gus menggambarkan komitmen Toyota dalam usaha memperkenalkan sukan permotoran kepada orang ramai.

Hasilnya, UMW Toyota Motor Sdn Bhd dikurniakan anugerah oleh Motorsports Association of Malaysia (MAA) atas usaha mereka mempromosikan sukan permotoran kepada orang awam dan menyumbang kepada pembangunan bakat-bakat baharu.

“Format one-make race akan dikekalkan dan ditambah baik untuk masa depan selain, mengekalkan objektif kami yang bukan sahaja menjadikan perlumbaan ini adil dan bergantung kepada kemahiran, tetapi juga menjadikan sukan permotoran lebih mudah disertai dari segi kos,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran.

Untuk Toyota Gazoo Racing Festival pusingan akhir, seramai 45 pemandu bersaing untuk merebut kedudukan terbaik dalam kesemua kelas perlumbaan iaitu Super Sporting, Sporting, Rookie, serta Promotional.

Bagi kelas Rookie, Ariff Azmi berjaya mengungguli secara keseluruhan apabila berjaya mencatat 89 mata, mengatasi pesaing terdekat, Iman Danish (79 mata) dan Nazmir Azlan (77 mata).

Sementara, kelas Promotional pula menunjukkan persaingan lebih sengit namun nasib menyebelahi Zizan Razak, mengutip 101 mata, diikuti rapat oleh Ezzrin Loy serta Shukri Yahaya, di mana masing-masing memperoleh 98 mata dan 65 mata.

Kelas Sporting menyaksikan Bradley Benedict (78 mata) diberi tentangan sengit oleh Nabil Azlan (75 mata) dan Kenneth Koh (71 mata).

Pelumba kelas Super Sporting tidak kurang hebatnya, di mana Mitchell Cheah pamer aksi menjanjikan, memperoleh 79 mata, diekori rapat oleh Putera Adam (77 mata) dan Eddie Lew (64 mata).

Pusingan akhir ini juga menyaksikan debut jentera lumba GR Vios Challenge generasi baharu dalam kelas Promotional.

Untuk rekod, kesemua pasukan dalam kelas-kelas lain akan menggunakan jentera lumba baharu ini di musim ketujuh.

Google ads
Back to top button