MAX VERSTAPPEN LENJAN CIVIC TYPE R
Tiada cara yang lebih berkesan buat Honda untuk mempromosikan Civic Type R serba baharu, melainkan dengan menggunakan khidmat juara dunia F1 2021, Max Verstappen.
Dalam satu video terbaharu yang dimuatnaik menerusi saluran YouTube Honda Australia, Max dilihat cuba menghabiskan masa terluang di sebalik jadual yang padat itu dengan menguji sendiri prestasi hot hatch pacuan roda depan itu di Litar Euroring, Hungary.
Mengetahui beliau kesuntukan masa, Max akhirnya membuat keputusan untuk memandu sendiri Civic Type R keluar meninggalkan pengurusnya yang memandu HR-V generasi baharu yang errr..perlahan itu.
Honda baharu sahaja mendedahkan butiran prestasi Civic Type R yang merupakan model Type R paling berkuasa pernah dihasilkan dari kilang.
Nadi K20C1 itu telah ditala semula bagi menghamburkan kuasa setinggi 315 hp dan 420 Nm, dipadankan dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j masih lagi dirahsiakan, namun Honda ada mendedahkan jentera pantas itu kini mencatatkan rekod baharu di Litar Suzuka mengalahkan rekod Civic Type R terdahulu.