Buletin

TOYOTA, HONDA KOLABORASI HASILKAN SISTEM JANA KUASA MUDAH ALIH

Dua jenama automotif terkemuka dunia Toyota dan Honda bergabung membangunkan sistem jana kuasa  mudah alih berdepan situasi bencana alam.

Sistem tersebut terdiri daripada sebuah bas berkuasa sel bahan api yang mampu membawa muatan hidrogen tekanan tinggi, peranti output kuasa dan pek bateri.

Projek dikenali sebagai Moving e ini mampu menyalurkan tenaga elektrik pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Ia sangat berguna apabila berlaku kerosakan pada bekalan tenaga terutama ketika berlaku bencana alam.

Bas Moving e ini dibangunkan berdasarkan Toyota FC Bus yang dilengkapi tangki bahan api hidrogen bertekanan tinggi dan mampu menjana kuasa setinggi 454 kWh dengan output maksimum 18 kW.

Selain itu, ia menggunakan peranti output kuasa Power Exporter 9000 mudah alih, bateri mudah alih Lib-AID E500 serta Mobile Power Pack daripada Honda.

Dua pengeluar kereta ini percaya, bas tersebut bukan sahaja mampu menjadi stesen jana kuasa ketika berlaku bencana tetapi ia boleh digunakan dalam acara-acara memerlukan khidmat tenaga.

Ia juga boleh menyediakan ruang rehat serta mod pengangkutan untuk membawa keluar mangsa dari kawasan yang ditimpa bencana.  

Bagi memastikan keberkesanan sistem jana kuasa ini, Toyota dan Honda akan melakukan penyelidikan terperinci dengan pihak berkuasa tempatan serta perniagaan yang bersedia bekerjasama dalam ujian tersebut. –carscoops.

Google ads
Back to top button