Buletin

ASTON MARTIN DB12 TAMPIL LEBIH POWER – V8 4.0 LITER TURBO, JANA KUASA 671HP

Pengeluar kereta Britain, Aston Martin mendedahkan DB12 serba baharu hadir lebih kuasa, dinamik serta menawarkan tahap keselesaan lebih tinggi.

Model DB12 serba baharu menampilkan beberapa pembaharuan termasuklah dipadankan dengan bampar baharu, rekaan jeriji baharu yang diapit lampu LED selain menerima hud baharu, lencana Aston Martin serta splitter.

Bahagian belakang pula didatangkan bersama lampu dengan grafik berbentuk C selain terdapat komponen pembeza gelincir terhad elektronik, sistem suspensi ditala semula dan peredam adaptif serba baharu.

Di samping itu, DB12 diserlahkan lagi menerusi rim bersaiz 21-inci dan dibalut bersama tayar Michelin Pilot 5s. Maklumat penting untuk peminat jenama Aston Martin, casis DB12 direka 7 peratus lebih keras.

Menjengah ke dalam kabin, DB12 dilengkapi skrin kluster digital, skrin infotainmen 10.25-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay atau Android Auto, sistem Audio 11-pembesar suara, butang kawalan fungsi dan kawalan kepada akses mod pemanduan.

Untuk makluman, DB12 mempunyai tiga mod pemanduan – GT, Sport, dan Sport+.

Dari segi kuasa, Aston Martin DB12 dipacu oleh enjin V8 4.0 liter turbo berkembar yang diperoleh daripada Mercedes-AMG, berupaya menghasilkan 671hp, tork 800Nm dan dipadankan sistem transmisi automatik 8-kelajuan.

Sementara, had kelajuan ditetapkan pada 325km/j manakala daya pecutan 0-100km/j hanya mengambil masa 3.6 saat.

Tiada pendedahan harga dibuat oleh Aston Martin tetapi pengganti DB11 ini bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun 2023.

GALERI:

Google ads
Back to top button