TOYOTA KEMBALI UNGGULI TAKHTA JUALAN JENAMA BUKAN NASIONAL DI MALAYSIA BAGI TAHUN 2021
Toyota kembali merampas takhta jenama bukan nasional paling laris di Malaysia pada tahun 2021 selepas kedudukan itu dikuasai oleh Honda sejak enam tahun lalu.
Penguasaan jualan model Toyota dapat dilihat dalam segmen B, trak pikap dan hatchback. Vios terus menjadi model paling laris Toyota dengan menyumbang 31 peratus kepada angka jualan keseluruhan UMW Toyota Motor. Hilux pula kekal unggul dalam segmen trak pikap tanpa berjaya digugat oleh sesiapa sejak tahun 2005 lagi.
Sepanjang tahun 2021, UMW Toyota Motor berjaya merekodkan jualan sebanyak 72,394 unit, naik 22 peratus berbanding tahun 2020 dengan 59,320 unit. Jualan pada Disember 2021 turut memberangsangkan dengan 9,289 unit, naik 0.5 peratus.
“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan dan memilih Toyota sebagai jenama yang dipercayai.
“Walaupun 2021 merupakan tahun yang sangat mencabar buat semua sektor termasuk automotif, kami di UMW Toyota berusaha keras untuk terus menawarkan penyelesaian mobiliti terbaik kepada pelanggan,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.
Selari dengan sasaran neutraliti karbon negara menjelang tahun 2050, UMW Toyota Motor komited untuk menawarkan kenderaan mesra alam ke pasaran tempatan. Terbaharu, model Corolla Cross Hybrid telah dilancarkan secara rasmi.
Ditawarkan pada harga bermula RM136,550 seunit, ia merupakan jentera paling ideal untuk anda yang mahukan penjimatan, kuasa dan mengambil berat tentang alam sekitar.