Buletin

TOYOTA UMUM HARGA COROLLA CROSS HYBRID 2022, BERMULA RM136,550 SEUNIT

UMW Toyota Motor membuka tirai tahun 2022 dengan melancarkan model mesra alam sekitar terbaharunya, Corolla Cross Hybrid. 

Model yang dipasang tempatan di kilang Toyota di Bukit Raja, Klang itu sudah boleh anda miliki pada harga bermula RM136,550 seunit. 

Walaupun kelihatan tidak jauh berbeza dengan dua lagi varian Corolla Cross versi enjin petrol, SUV itu sebenarnya menawarkan beberapa penambahbaikan yang membuatkannya lebih istimewa. 

Jentera berkenaan menggunakan khidmat enjin 2ZR-FXE bersesaran 1.8 liter berkuasa 98PS dan tork 142NM. Enjin itu kemudian dipadankan dengan motor elektrik yang mampu menjana 72PS dan tork 163Nm. Apabila digabungkan, rangkaian kuasa hibrid itu menawarkan kuasa mencecah 122PS. 

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear e-CVT yang cekap. Hasilnya, ia dapat menawarkan penjimatan bahan api sekitar 23.3km bagi setiap satu liter petrol. Sebagai sebuah model hibrid, sudah pasti ia dilengkapi sistem brek regeneratif. 

Pemandu boleh memilih di antara empat mode pemanduan iaitu Normal, Eco, Sport dan EV. Apabila butang EV ditekan, ia mampu menggerakkan SUV ini sejauh 2km dengan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, 

Dari segi luaran, model hibrid itu dibezakan melalui penggunaan lampu utama jenis bi-LED bersama kemasan berwarna biru, logo Toyota juga dengan aksen biru, emblem HYBRID pada bahagian tepi dan belakang, serta rim aloi bersaiz 18 inci. 

Ruang kabin pula menerima skrin multi-info display (MID) TFT bersaiz tujuh inci, lengkap dengan grafik aliran kuasa. Selain itu, ruang itu juga hadir dengan pendingin hawa dua zon, skrin infohibur bersaiz 9 inci bersama ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, enam unit pembesar suara dan penyandar penumpang belakang boleh dibaringkan untuk keselesaan. 

Aspek keselamatan pula dipertingkatkan dengan rangkaian penuh Toyota Safety Sense yang terdiri daripada Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Tracing Assist (LTA), Automatic High Beam (AHB), Blind Spot Monitor (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan banyak lagi. 

Corolla Cross Hybrid didatangkan dalam lima warna menarik iaitu kelabu metalik, perak, merah, biru dan putih mutiara. 

GALERI

Google ads
Back to top button