,
Buletin

TOYOTA OUTRUN BERJAYA KUTIP DANA RM151,100 UNTUK PARALIMPIK

Selain memasang dan menghasilkan kenderaan untuk pasaran tempatan, UMW Toyota juga dalam masa yang sama turut melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui pelbagai usaha yang menyumbang kepada perubahan sosial dan membantu memperbaiki
kehidupan dalam lingkungan masyarakat.

Syarikat induknya, Toyota Motor Corporation (TMC) kini sedang giat membangunkan masyarakat yang lebih merangkum dan lestari serta mengubah hala tujunya untuk menjadi sebuah syarikat mobiliti.

Sempena Olimpik Tokyo 2020, TMC turut memulakan kempen Start Your Impossible, sebuah kempen jangka panjang yang menggalakkan setiap orang untuk melangkaui apa yang dirasakan mustahil dalam diri masing-masing.

Untuk itu, menjadi rakan penganjur kepada acara Olimpik dan Paralimpik 2020 di Jepun nanti adalah contoh kepada komitmen berkenaan.

Sebagai menyokong matlamat TMC, UMWT juga telah mensejajarkan usaha-usaha CSR syarikat pada tahun ini dengan mewujudkan platform Start Your Impossible (SYI) melalui dua elemen — acara persembahan musik untuk kebajikan, Toyota Classics; dan satu lagi, Toyota Outrun yang merupakan sebuah acara larian, juga untuk tujuan kebajikan.

” UMW Toyota Motor sangat berbesar hati untuk membantu mereka yang berkelainan upaya tetapi ingin terus terlibat dengan aktiviti sukan. Ini selari dengan sokongan padu Toyota Motor Corporation kepada sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 sebagai rakan mobilitinya yang pertama'” ujar Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama.

Di bawah usaha Start Your Impossible, UMWT memperkenalkan Dual Heroes Concept yang memberi perhatian kepada atlit tempatan yang menggalas cabaran di dua lapangan — dalam sukan dan juga kehidupan harian.

Melalui konsep ini, syarikat telah memilih atlit Paralimpik pertama Malaysia yang diangkat sebagai Atlit Tahunan 2016, Abdul Latif
Romly sebagai duta.

Latif dipilih sebagai duta bagi kempen SYI di atas faktor beliau yang telah mencatatkan pencapaian yang luar biasa ketika Paralimpik Musim Panas 2016.

Dunia menyaksikan beliau memecahkan rekod bagi acara lompat jauh T20 sebanyak tiga kali dalam satu hari.

Ini adalah contoh persembahan paling bermakna dalam mengatasi segala kekurangannya untuk terus mempamerkan semangat sukan yang tinggi serta kesungguhan untuk membawa perubahan sosial dalam perjalanan hidupnya.

Bagi memulakan usaha terbaru ini, UMWT menganjurkan acara sulung Toyota Outrun di Bandar Rimbayu, Kota Kemuning, Selangor untuk mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada Majlis Paralimpik Malaysia. Sejumlah RM151,100 berjaya dikutip hasil daripada penyertaan peserta.

Lebih daripada 3,000 peserta terlibat di dalam acara larian lapan kilometer di sekitar Bandar Rimbayu itu, termasuk 20 orang daripada mereka adalah dari golongan kelainan upaya.

“Kami berterima kasih kepada semua peserta yang menjayakan acara ini, yang turut menyumbang kepada pengumpulan dana berkenaan. Semua dana yang diraih itu sangat berguna kepada Majlis Paralimpik Malaysia untuk aktiviti-aktiviti yang mereka jalankan”

“Kami juga sentiasa ingin memberi lebih bantuan dan sokongan di masa hadapan,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

Sebagai tanda terima kasih kepada sumbangan dari UMWT, Naib Presiden, Majlis Paralimpik Malaysia, YBhg Dato Subramaniam Raman berkata, pihaknya akan memanfaatkan dana berkenaan bagi tujuan program Latihan dan Kecergasan Orang Kelainan Upaya bertujuan untuk melatih para pelatih agar benar-benar bersedia untuk memimpin orang kelainan upaya yang mempunyai potensi dalam bidang sukan.

Tags
Google ads
Back to top button