
TOYOTA HILUX V6 GR RACING. 234HP UNTUK AMERIKA LATIN
Toyota akhirnya memperkenalkan versi Hilux yang dikuasakan oleh enjin V6 untuk pasaran Amerika Latin seperti Brazil, Argentina dan Uruguay untuk dijual pada tahun 2020.
Dikenali sebagai Hilux V6 GR Sport, Toyota menjadikannya sebagai pesaing utama kepada Ford Ranger Raptor V6.
Sebagai sebuah model Gazoo Racing, Hilux V6 GR Sport pastinya tampil lebih agresif berbanding model standard.

Bahagian hadapannya diserlahkan dengan gril berwarna hitam dengan perkataan ‘Toyota’ yang besar, bonet dan bumbung berwarna hitam berkilat.
Dibina menggunakan platform sama dengan SUV Fortuner, trak pikap itu ditawarkan dalam tiga warna Gazoo Racing iaitu hitam, putih dan merah.
Pelekat yang dilekatkan pada bahagian sisi juga menggunakan warna Gazoo Rcing. Selain rim aloi dua tona dan lencana GR pada gril hadapan dan belakang.

Ruang kabin juga menerima tema hitam sepenuhnya, bersama jahitan merah, serta logo GR pada perehat kepala dan konsol tengah.
Enjin V6 bersesaran 4.0 liter itu mampu menghasilkan kuasa sekitar 234hp dan tork 375Nm yang dipadankan dengan kotak gear enam kalajuan automatik serta pacuan empat roda.
Sebelum ini, versi GR Sport didatangkan dengan enjin turbo diesel 2.8 liter berkuasa 177hp dan tork 450Nm.
Hilux V6 GR Sport dilengkapi sistem infohibur dengan skrin sentuh bersaiz 7 inci, butang penghidup enjin, lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang (DRL), kawalan jelajah dan dua mode pemanduan.
Sistem keselamatan standard termasuklah tujuh beg udara, ABS, EBD, ESC, kawalan cengkaman, Hill Srat Assist dan Hill Descent Assit.