TOYOTA TERUS MELABUR DI TURKIYE, PASANG C-HR BAHARU!
Pada Disember 2022, Toyota memperkenalkan C-HR Prologue dan seperti namanya membayangkan C-HR generasi kedua.
C-HR dikeluarkan sejak 2016 dan sudah sampai masanya untuk diganti baharu.
Belum pun dilancarkan, Toyota memaklumkan C-HR generasi kedua akan dikeluarkan di Toyota Motor Manufacturing Turkey (TMMT) yang terletak di Sakarya.
Hasil rekaan Toyota Eropah
TMMT sememangnya lokasi pemasangan C-HR dan selain Eropah, model tahun 2018 hingga 2020 pasaran Amerika Utara adalah hasil pemasangan kilang Turkiye.
C-HR juga dipasang di Thailand dan satu ketika dahulu dijual di pasaran tempatan.
Sama seperti generasi pertama, C-HR baharu adalah produk Jabatan Pembangunan Reka Bentuk Toyota Eropah (ED²) di Perancis.
Ada dua rangkaian kuasa ditawarkan iaitu hibrid dan hibrid plug dan C-HR baharu bakal menjadi kereta penumpang hibrid plug-in pertama yang dikeluarkan di Turkiye.
Barisan pengeluaran baharu
Selain itu, TMMT juga bakal menjadi kilang Toyota pertama di Eropah yang memulakan pengeluaran kenderaan hibrid plug-in dan yang pertama dilengkapi barisan pemasangan bateri.
TMMT akan membina barisan pemasangan bateri plug-in baharu dengan kapasiti 75,000 unit setahun.
Pemasangan bateri hibrid plug-in akan bermula pada Disember 2022 dan bakal mewujudkan sekitar 60 pekerjaan berkemahiran baharu.
Pembinaan barisan pemasangan bateri di TMMT adalah satu pencapaian strategik dalam transformasi elektrikasi Toyota dan akan menyokong kilang Toyota lain di Eropah dengan tenaga kerja berkeupayaan dan berpengetahuan.
Jumlah pelaburan untuk projek ini sekitar 317 juta euro (RM1.46 bilion) dan menjadikan pelaburan di TMMT sekitar 2.3 bilion euro (RM10.6 bilion).
Pelaburan baharu merangkumi penambahbaikan dan peningkatan barisan pengeluaran bagi memenuhi keperluan masa depan.
Kilang hijau
Toyota menyasarkan untuk mencapai neutral karbon di kesemua kemudahan pengilangan menjelang 2023 dan TMMT sedang menuju ke arah itu dengan meminimumkan penggunaan tenaga dan pada masa yang sama beralih kepada tenaga boleh diperbaharu di kilang Sakarya.
Misi tersebut diterjemahkan melalui pengenalan teknologi baharu bahagian mengecat (paint shop) yang meminimumkan pelepasan CO2 dan penggunaan tenaga solar bagi menjadikan kilang yang ‘self sufficient’ dalam penggunaan tenaga.
BACA: TOYOTA COROLLA CROSS HYBRID, HIBRID TERPALING DIPERCAYAI DI DUNIA
BACA: TOYOTA HILUX GR SPORT DI AUSTRALIA DAPAT ENJIN LEBIH POWER! 221HP, BERMULA RM207K
BACA: HILUX NO. 1 DI AUSTRALIA PADA 2022, TOYOTA KUASAI PASARAN SELAMA 2 DEKAD!